News_archive

Pembaharuan Luar Bandar Tidak Boleh Terhenti, Kata Najib

By Sunday February 19th, 2012 No Comments

IPOH, 19 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembaharuan untuk kawasan luar bandar di negara ini tidak boleh terhenti setakat apa yang diusahakan oleh pemimpin sebelum ini.

Perdana Menteri berkata selain memberi tumpuan kepada kemudahan asas untuk penduduk luar bandar, idea dan sumbangan bernas bagi pembaharuan di kawasan berkenaan turut diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha transformasi kerajaan.

Najib berkata berkata waris kepimpinan negara perlu melengkapkan agenda pembangunan luar bandar dan tidak boleh menganggap apa yang yang diwarisi berhenti setakat apa yang ada pada hari ini.

“Kita teruskan dan memantapkan untuk kepentingan dan keselesaan masyarakat luar bandar,” katanya pada Perhimpunan Rakyat Parlimen Pasir Salak dan majlis pelancaran Pemodalan Felcra Berhad di Kampung Gajah, dekat sini Sabtu.

Beliau berkata kerajaan mahu melonjakkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan memikirkan untuk mewujudkan nilai tambah, kemasukkan teknologi baru serta meluaskan kemudahan perniagaan.

Katanya, Felcra yang mencatatkan rekod dividen sebanyak RM912.95 juta yang dianggap sangat baik membuktikan bahawa agensi seperti itu mampu memberikan kesan positif kepada transformasi luar bandar.

“Ini kejayaan luar biasa (kepada Felcra) yang membawa perubahan besar kepada masyarakat luar bandar.

“Ini kerana kebanyakan negara membangun kita lihat hanya kawasan di bandar sahaja yang maju sedangkan di kawasan luar bandar tiada perubahan ke arah pembangunan dan kemajuan,” katanya.

Najib berkata sekiranya Felcra bergabung dan menumpukan usaha dengan agensi kerajaan yang membabitkan masyarakat luar bandar kesannya akan sampai tahap yang lebih besar.

Beliau berkata kerajaan juga tidak takut kepada tohmahan pembangkang yang sering kali mencari jalan untuk memperlekehkan sebarang usaha yang dilakukan kerajaan.

“Apa yang penting ialah ialah kebenaran akan muncul mengatasi yang palsu dan yang hak mengatasi yang batil,” katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku kepada ketua pembangkang dengan ramai pengikut dan rakan rapatnya yang meninggalkan juga menimbulkan persoalan.

“Mesti ada sesuatu yang tidak kena kalau ramai orang tinggalkan beliau. Saya tak pernah tengok orang macam ni. Ini mungkin satu rekod ,” katanya.

Najib juga meminta masyarakat membuat pilihan yang betul pada pilihan raya umum akan datang kerana pilihan raya bukanlah untuk individu seperti beliau atau sebagainya tetapi untuk masa depan negara dan generasi akan datang.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Permodalan Felcra Berhad dengan dana pelaburan sebanyak RM100 juta.

Beliau juga menyampaikan surat hak milik kepada 10 peserta Felcra Berhad Seberang Perak yang mewakili 250 peserta secara keseluruhannya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply