Speeches

Pelancaran Majlis Profesor Negara

By Thursday April 1st, 2010 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam 1Malaysia

Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin,
Timbalan Perdana Menteri,

Y.B. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin,
Menteri Pengajian Tinggi,

Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan,
Ketua Setiausaha Negara,

Y.Bhg. Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan,
Ketua Setiausaha Sulit Kementerian
Pengajian Tinggi,

YB. Menteri- Menteri Kabinet,
YB. Timbalan- Timbalan Menteri,

YBhg. KSU Kementerian- Kementerian,

Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan,

YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti,

YBhg. Naib-Naib Canselor IPTA dan IPTS,

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Para Profesor dan Sidang Ilmuwan
Seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.

1. Pertama-tamanya, marilah kita mengangkat rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia serta rahmatNya jualah, maka dapat kita bersama-sama dalam dalam satu majlis yang menjunjung tinggi peri pentingnya ilmu pengetahuan.

2. Petang ini kita akan menyaksikan Pelancaran Majlis Profesor Negara (MPN) yakni sebuah mekanisme yang akan mengumpulkan intelengsia keilmuan dari seluruh negara. Kita juga akan mengumumkan pemilihan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) yang bakal merancakkan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan Negara pada masa mendatang.

3. Hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa sekiranya kita berkehendak kepada dunia, kita memerlukan ilmu, sekiranya kita berkehendak kepada akhirat, kita memerlukan ilmu, sekiranya kita berkehendak kepada kedua-duanya, adalah juga dengan jalan ilmu. Justeru saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana berjaya menghimpunkan begitu ramai ilmuwan dan cerdik pandai dalam majlis yang bermakna ini. Sepanjang ingatan saya, inilah julung kalinya kita dapat menghimpunkan sebilangan besar para profesor yang jumlahnya terkini dikhabarkan pada saya seramai 1,426 orang.

4. Sesungguhnya kerajaan sentiasa memberi perhatian dan keutamaan terhadap perkembangan pengajian tinggi. Ini bersesuaian dengan peranan universiti iaitu perkhidmatan pengajian tinggi yang mempunyai kaitan langsung dengan pemikiran masyarakat, model ekonomi dan kemahiran tinggi dalam segala bidang. Sehubungan itu apabila saya dilantik menjadi Perdana Menteri setahun lalu, banyak dasar dan inisiatif melibatkan pengajian tinggi. Ini begitu ketara apabila saya mengumumkan Model Baru Ekonomi (MBE) pada hari selasa lalu.

5. Peranan institusi pengajian tinggi dalam Model Baru Ekonomi tidak terhad kepada pembinaan generasi yang terpelajar dengan menyediakan program akademik bermutu. Malah peranan tersebut perlu diperluaskan lagi kepada penjanaan ekosistem intelektual subur untuk perkembangan kreativiti dan inovasi, penjanaan nilai tinggi bagi melonjakkan ekonomi Malaysia bersaing menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

6. Untuk tujuan tersebut, pada hemah saya peranan ahli akademik dari pensyarah sehingga profesor menjadi semakin kritikal, sekaligus strategik. Peranan tersebut tidak lagi boleh hanya sekadar memberi kuliah dan melakukan penyelidikan semata-mata. Untuk membolehkan ekosistem intelektual universiti tempatan menyerlah dan menyumbang secara siknifikan kepada kemajuan negara, maka peranan ahli akademik, terutamanya mereka yang berjawatan profesor, perlu dikembangkan untuk menjadi pemangkin daya kreativiti dan mendorong inovasi.

7. Dalam konteks lebih luas, peranan profesor adalah sebagai pemacu perkembangan ilmu terkini yang mengadunkan antara kefahaman terhadap ilmu fundamental, penguasaan terhadap kemahiran terkini dan keupayaan meletakkan perkembangan ilmu dalam konteks penjanaan nilai tinggi yang memberi impak besar kepada kemajuan negara.

8. Semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (MAPPA XI) pada 9 Mac lalu, saya menggunakan istilah Arab, “murabbi” yakni tenaga pengajar dan penyelidik terbaik yang bermotivasi merujuk kepada pensyarah universiti. Dalam sejarahnya, murabbi merupakan ahli ilmu berwawasan, guru yang berhemah tinggi, sarjana yang penguasaan ilmunya sampai ke tahap hikmah, pemikir penggerak zaman yang mempunyai kemahiran sesuai dengan peredaran waktu. Murabbi juga adalah pendidik yang mempunyai iltizam tinggi terhadap ilmu dan dunia keilmuan. Mereka lebih rela berkelana di samudera ilmu berbanding dengan pelbagai tarikan lain yang tampak kemilau tetapi melekakan sehingga menjarakkan mereka dari aktiviti keilmuan.

9. Saya mengutarakan konsep murabbi dalam majlis ini supaya para profesor tidak membataskan diri dengan tugas keilmuan dalam kerangka yang sempit. Saya berharap Majlis Profesor Negara yang akan dilancarkan nanti merupakan wadah untuk membina golongan murabbi dalam konteks universiti moden yang semakin luas dan mencabar.

10. Menerusi Majlis Profesor Negara juga saya berharap usaha untuk meletakkan tugas profesor selari dengan tugas kesarjanaan sebagaimana terakam dalam catatan sejarah. Sejak zaman kegemilangan Greek lagi, tugas kesarjanaan mempunyai impak menyerlah dalam pembinaan minda masyarakat dan peradaban sehingga zaman berzaman. Para sarjana Greek, seperti Aristotle dan Socrates, mencetuskan gagasan besar dan kreativiti nilai tinggi sehingga membolehkan bangsa Greek menguasai zamannya.

11. Demikian juga peradaban Islam yang meletakkan kepentingan ilmu dan peranan ilmuwan pada martabat sebagai pewaris para Nabi. Sebaliknya bangsa Rom dan Mogul misalnya, terkenal dengan kekuatan bala tentera tetapi lemah dari segi kesarjanaan. Berbanding dengan yang lain, bangsa Greek dan peradaban Islam masih dirasakan kehadirannya sehingga kini disebabkan sumbangan kesarjanaan yang menyerlah.

12. Sehubungan itu, saya dimaklumkan bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji semula peranan, skim dan pengiktirafan ahli akademik. Ini juga melibatkan imbuhan kewangan kepada pensyarah universiti (awam dan swasta) agar setanding dengan kepakaran mereka dan setara dengan negara maju, atau sekurang-kurangnya jiran terdekat.

PENGUMUMAN 1

13. Kenyataan saya untuk membenarkan skim profesor meningkat sehingga peringkat tertinggi turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di universiti awam khabarnya mendapat sambutan hangat yang diharap menghangatkan juga iltizam dan menyegarkan lagi sumbangan akademia.

14. Bagi maksud memperincikan lagi cadangan tersebut suka saya mengumumkan bahawa dua tindakan susulan akan diambil oleh kerajaan.

Pertama kita akan meminda Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bagi menambah jumlah Profesor Diraja yang boleh dilantik pada satu-satu masa yang kini hanya terhad kepada 3 orang. Satu pakej “remuneration” yang sesuai dengan ketinggian status Profesor Diraja akan kita adakan, pakej ini tidak akan terikat dengan mana-mana tangga gaji yang sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Kedua satu kategori Profesor Kanan akan diwujudkan, mereka yang berada pada kategori ini akan diletakkan di bawah Gred Turus perkhidmatan awam. Walaubagaimanapun jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh jawatankuasa khas.

PENGUMUMAN 2

15. Saya telah mengarahkan agar beberapa PERATURAN- PERATURAN PERKHIDMATAN AWAM YANG MEMPUNYAI IMPLIKASI KE ATAS KEBERKESANAN PERANAN DAN AKTIVITI IPTA dikaji semula. Ini termasuklah; PERTAMA Surat Pekeliling Bilangan 3 Tahun 2008, KEDUA Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA, April 2004 dan KETIGA Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 secara menyeluruh bagi membolehkan satu ekosistem terbaik wujud untuk pengkomersialan produk R&D atau penyelidikan dan pembangunan universiti serta program dan aktiviti pembangunan usahawan bagi mengurangkan pergantungan kewangan universiti kepada kerajaan.

16. Namun dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik kita jangan sekali-kali alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekaligus mengangkasa pengajian tinggi.

17. Ini kerana, mediokriti atau budaya kecincaian adalah barah kepada tradisi ilmu. Dan ini sudah pasti tidak selari dengan hasrat kita membina ekosistem intelektual yang segar dan meriah di universiti tempatan, menjadi pelopor inovasi, menjadi penjana nilai tinggi, dan menjadi “paragon of excellence”.

Saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan pelancaran Majlis Profesor Negara (MPN) dan pemilihan 6 Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE).

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply