News_archive

Pelan penstabil ekonomi hadapi krisis kewangan global

By Tuesday October 14th, 2008 No Comments

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pelan penstabil ekonomi menyeluruh pada Isnin ini, bagi membolehkan negara menghadapi krisis kewangan global yang semakin serius, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelan penstabil itu yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, merangkumi langkah mengelak negara terjejas dalam krisis kewangan global.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan itu dan langkah dalam pelan penstabil yang sedang dirumus itu, mencerminkan usaha serius kerajaan bagi menghadapi keadaan itu.

“Rakyat tidak perlu panik. Kita nak yakinkan rakyat bahawa kerajaan mengambil langkah perlu untuk menghadapi keadaan ini. Biarpun krisis itu serius, kita yakin Malaysia tidak akan terjejas dan mampu mencatat pertumbuhan sekitar lima peratus tahun ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Najib berkata, cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan membentangkan semula Bajet 2009 tidak boleh diterima kerana ia bukan cadangan sesuai dalam menangani krisis kewangan global.

Katanya, ini penting bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dapat dilaksanakan tanpa gangguan dan program untuk menolong rakyat miskin dan berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam Bajet 2009 dilaksanakan mengikut jadual.

Najib berkata, Bajet 2009 perlu diteruskan kerana merangkumi pelbagai langkah positif membantu semua rakyat dan memastikan agensi dan jabatan kerajaan membuat perbelanjaan bagi menyemarakkan perbelanjaan domestik, sekali gus membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Tahun ini kita tidak menghadapi kemelesetan dan kita yakin ekonomi negara mempunyai ketahanan dalaman untuk menghadapi suasana kewangan global yang sememangnya serius dan tidak dapat dielakkan akan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Mengenai kadar faedah tempatan, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Bank Negara untuk menimbangkan sama ada wujud keperluan menurunkan lagi kadar faedah perbankan seperti diambil negara lain.

Mengenai perlunya kerajaan mewajibkan bank memberi jaminan terhadap deposit yang diterima, katanya, sistem perbankan mempunyai kecairan memadai, justeru tidak perlu langkah sedemikian dilaksanakan.

Menjawab soalan lain, Najib berkata, beliau tidak perlu mengulas mengenai dakwaan beliau menyalah guna kuasa apabila menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Datuk Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

“Mengapa perlu saya ulas, tiada salah guna kuasa. Kenapa perlu menjadi isu sedangkan tiada salah guna kuasa jika anda membacanya dengan teliti,” katanya.

Mengenai isu lain, Najib berkata, tindakan calon Barisan Nasional (BN) Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen membatalkan kemenangan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zulkiffli Nordin dibuat demi kebaikan parti dan negara.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply