News_archive

'Pelan atasi tempias krisis global'

By Tuesday October 14th, 2008 No Comments

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah baru dalam bentuk pelan penstabilan untuk mengukuhkan ekonomi negara pada Isnin ini bagi menangani tempias krisis kewangan global yang semakin genting.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan itu telah dibincangkan pada mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Negara semalam, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dihadiri semua menteri ekonomi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa memantau perubahan dalam krisis kewangan sedunia dan pelan penstabilan yang bakal diumumkan itu menggambarkan langkah terbaru yang akan diambil oleh kerajaan.

“Saya mahu rakyat tahu dan saya mahu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sedar dan sedang menangani situasi sekarang. Walaupun keadaannya serius, kita tidak perlu panik.

“Kita tidak terjejas seteruk banyak negara lain tetapi sudah tentu krisis kewangan global memberi kesan negatif kepada ekonomi kita,” kata Najib pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mengenai cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan membentangkan semula Bajet 2009, beliau berkata, ia bukanlah satu cadangan yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam menangani krisis kewangan global yang melanda sekarang.

Katanya, apa yang penting ialah memastikan bahawa perbelanjaan kerajaan dapat dijalankan tanpa gangguan dan segala program membantu rakyat miskin serta golongan berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam Bajet 2009 dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Ini termasuk usaha kita untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang telah dicadangkan.

“Melalui program ini, lebih kurang 150,000 rakyat miskin dan berpendapatan rendah akan mendapat faedah.

“Banyak lagi cadangan dalam bajet itu yang boleh memberi faedah kepada rakyat perlu dilaksanakan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghadapi kemelesetan pada tahun ini dan kerajaan yakin bahawa ekonomi negara mempunyai ketahanan untuk menghadapi suasana global yang serius.

Katanya, krisis global tentunya memberi kesan kepada negara tetapi pada tahun ini kerajaan masih yakin dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang munasabah seperti yang dijangka iaitu pada tahap lima peratus.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun depan, unjuran pertumbuhan mungkin perlu dikaji semula mengambil kira perkembangan dunia yang kini semakin genting.

Menjawab soalan pemberita sama ada angka-angka dalam Bajet 2009 akan berubah ekoran krisis itu, Najib berkata, sudah tentu ada yang berubah namun unjuran pertumbuhan ekonomi lima peratus mampu dicapai tetapi perubahan dapat dilihat pada unjuran untuk tahun hadapan.

“Ada sebahagian angka itu mungkin perlu disemak semula tetapi ia tidak memerlukan kita membentangkan semula bajet baru,” katanya.

Beliau menegaskan, Bajet 2009 perlu dilaksanakan kerana ia mengandungi langkah-langkah positif membantu rakyat dan amat penting bagi peruntukan kerajaan dibelanjakan oleh pelbagai kementerian dan agensinya bagi menggalakkan perbelanjaan dan pertumbuhan domestik.

Jika perkara sebaliknya berlaku, kata beliau, ekonomi negara akan terjejas teruk.

“Seperti yang saya katakan, cadangan pembangkang bukan caranya untuk menguruskan negara ini,” ujarnya.

Ditanya bilakah semakan semula Bajet 2009 sepatutnya dilakukan, Najib berkata, kerajaan sedang memantau situasi semasa dengan teliti memandangkan ia berubah setiap hari.

Katanya, kerajaan akan melihat angka-angka yang disemak untuk tahun depan apabila tiba masa yang sesuai.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menurunkan kadar faedah, beliau berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Bank Negara apabila tiba masanya.

Diminta mengulas sama ada bank-bank di negara ini perlu memberikan jaminan kepada simpanan pelanggan-pelanggannya, Najib berkata, ada baik buruknya langkah itu dilaksanakan.

Sekiranya ia dilaksanakan, rakyat akan melihatnya sebagai tanda berlaku keadaan krisis ekonomi yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply