BlogFeatured Articles

Pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan

By Thursday March 23rd, 2017 No Comments

1. Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi pekerja tempatan dalam sektor swasta yang kini berjumlah kira-kira 6.5 juta orang.

2. SIP adalah jaringan keselamatan sosial yang bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapat bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baru.

3. Pekerja akan mendapat bantuan saraan sementara dan mencari pekerjaan baru melalui program perkhidmatan pekerjaan. Ini meliputi bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan. Selain itu, pekerja yang kehilangan pekerjaan juga akan diberikan latihan secara latihan semula atau peningkatan kemahiran bagi mempertingkatkan kebolehkerjaan mereka.

4. Pelaksanaan SIP akan dibiayai melalui caruman daripada pihak pekerja dan majikan. Dana SIP ini akan ditadbir urus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

5. Satu undang-undang baru sedang digubal dan akan dibentangkan dalam sesi persidangan Parlimen Jun ini. Undang-undang ini dijangka akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018 manakala bayaran faedah boleh dibuat mulai 1 Januari 2019.

6. Kerajaan percaya Inisiatif pelaksanaan SIP ini merupakan satu dasar jangka panjang yang akan memberi impak positif khususnya kepada golongan pekerja dan majikan. Pengalaman negara lain menunjukkan bahawa SIP bertindak sebagai penstabil ekonomi dan membantu mengekalkan aktiviti ekonomi secara mampan, khususnya semasa kegawatan. SIP juga akan menambah baik kecekapan pasaran buruh melalui pemadanan penawaran dan permintaan yang lebih efisien, seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.

Leave a Reply