News_archive

Pelaburan ETP Bernilai RM10 Bilion Direalisasikan, Kata Idris Jala

By Tuesday November 1st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Pelaburan bernilai kira-kira RM10 bilion di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak setahun lepas telah direalisasikan membuahkan hasil

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala berkata Selasa, ia membentuk 64 peratus daripada pelaburan berjumlah RM15 bilion yang diperuntukkan bagi tahun itu.

Beliau berkata projek permulaan (EPP) juga berjalan lancar.

Sejumlah 70 daripada 131 projek EPP atau 53 peratus telahpun dimulakan.

“Oleh kerana sesetengah EPP mempunyai projek yang banyak, kami kini mempunyai 97 projek yang sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan,” katanya dalam taklimat media bersempena dengan selesainya tempoh 12 bulan pertama ETP.

ETP, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2010, disasar untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Idris berkata terdapat kemajuan positif selepas hanya 12 bulan. Beliau berkata dengan menumpukan kepada 12 bidang pertumbuhan utama, keyakinan sektor swasta Malaysia terhadap ekonomi tempatan juga meningkat.

“Pada separuh pertama 2011, pelaburan sektor swasta meningkat 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion, mengatasi pelaburan awam bagi tempoh yang sama,” katanya.

Dalam masa setahun, 131 EPP telah digariskan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama negara (NKEA) ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, katanya.

Source : Bernama

Leave a Reply