News_archive

Pelaburan babitkan RM1.43b

By Wednesday September 7th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lapan inisiatif baharu dan dua projek dipulihkan dengan membabitkan pelaburan sebanyak RM1.43 bilion.

Perdana Menteri berkata, inisiatif baru dan projek tersebut akan menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM8.4 bilion.

“Lapan inisiatif baharu itu juga bakal menawarkan 9,965 pekerjaan tambahan. Secara keseluruhan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM171.21 bilion, PNK RM228.55 bilion dan 372,361 pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memaklumkan perkembangan terkini ETP di Suruhanjaya Sekuriti di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Perdana Menteri berkata, di bawah inisiatif Minyak Sawit dan Getah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad akan melabur sebanyak RM706 juta dalam usaha membangunkan industri minyak sawit.

“Saluran MedikTV yang merupakan penyiaran rasmi bagi Kementerian Kesihatan juga diperkenalkan di bawah inisiatif Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur NKEA.

“Di bawah inisiatif Perkhidmatan NKEA, Strand Aerospace Malaysia Sdn. Bhd. akan menerajui inisiatif untuk membangunkan dan meletakkan Malaysia sebagai hab bagi Perkhidmatan Kejuruteraan Nilai Tinggi,” katanya.

Menurutnya, di bawah inisiatif Pertanian NKEA, Hannan Corporation Sdn. Bhd. akan melabur dalam pembinaan dua kompleks akuakultur yang terdiri daripada kompleks seluas 121 hektar di Selingsing dan 323 hektar di Pulau Gula, kedua-duanya di Perak.

Bagi inisiatif Produk Herba Nilai Tinggi pula katanya, Nova Laboratories Sdn. Bhd. telah dikenal pasti sebagai salah satu syarikat utama untuk memacu produk herba bagi segmen nilai tinggi nutraseutikal dengan tuntutan pra klinikal/klinikal atau ubat botani.

“Di bawah inisiatif NKEA Borong dan Runcit, dua pusat beli-belah maya akan diperkenalkan iaitu Doorstep Retail.com dan Koperasi Jiwa.

“Bagi inisiatif NKEA Elektronik dan Elektrik, Hong Leong Manufacturing Group telah memperolehi saham strategik dalam DSEM Holdings Sdn. Bhd., pengilang substrat proprietari termal bagi industri global LED,” katanya.

Bagi projek dipulihkan, Perdana Menteri berkata, ia melibatkan penubuhan Invest KL untuk menarik dan memudahkan pelaburan syarikat multinasional ke dalam Greater KL/KV di bawah inisiatif Greater KL/KV NKEA.

“Turut diwujudkan adalah Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) di bawah inisiatif Penjagaan Kesihatan NKEA bertujuan mengubah Malaysia menjadi destinasi pilihan untuk penyelidikan kontrak klinikal,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan tiga program di bawah inisiatif Reformasi Pembangunan Strategik Modal Insan iaitu MyProCert MSC Malaysia, Program Peningkatan Bakat Negara (NTEP) dan PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (HPBS) yang dikenali sebagai TERAS.

Sumber : Utusan

Leave a Reply