News_archive

Pelaburan 2010 Meningkat 530 Peratus Kerana Perancangan Baik Kerajaan

By Khamis Julai 28th, 2011 No Comments

PENDANG, 28 Julai (Bernama) — Peningkatan jumlah pelaburan dari luar negara yang meningkat sebanyak 530 peratus pada 2010 berbanding pelaburan pada 2009 membuktikan bahawa kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk memajukan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata peningkatan mendadak itu adalah antara jumlah pelaburan yang tertinggi di dunia.

“Untuk Kedah, hanya Kulim Hi-Tech Park tetapi jika Kedah bertukar kerajaan banyak tempat akan merasa nikmat pelaburan itu,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Belia 1Malaysia di Mini Stadium Pendang di sini Khamis.

Beliau berkata menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan akan menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan dalam masa 10 tahun akan datang.

“Apabila belia keluar daripada institusi pengajian tinggi ada peluang pekerjaan kerana kita dapat sediakan peluang-peluang ini menerusi perancangan yang teliti bukan dengan slogan atau retorik,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha yang dilakukan kerajaan dalam membangunkan negara dengan berkesan cukup terbukti apabila ada rakyat termiskin seperti anak pesawah padi berjaya.

“Ramai pekerja asing datang ke negara ini kerana kita mempunyai banyak peluang pekerjaan hasil usaha kerajaan. Banyak negara lain yang kucar-kacar sehinggakan ada kadar pengangguran mencapai 30 peratus,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply