News_archive

Pegawai Kerajaan Main Peranan Penting Menjayakan Agenda Kerajaan

By Friday July 29th, 2011 No Comments

ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pegawai kerajaan wajib melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab dengan memastikan setiap perancangan yang dibuat mencapai matlamat.

“Perbelanjaan kerajaan ke atas projek-projek yang diluluskan adalah suntikan untuk menjana ekonomi negara. Kegagalan membelanjakan peruntukan menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan,” katanya.

Berucap pada ‘Makan Malam Bersama Perdana Menteri’ sempena lawatan sehari ke Kedah di Dewan Wawasan Jitra, dekat sini, Najib berkata beliau memperkenalkan Model Baru Ekonomi sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan bagi memastikan negara mampu mengatasi cabaran paradigma ekonomi global.

Katanya sejarah negara menunjukkan Malaysia berjaya mengatasi semua masalah apabila berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran dan rintangan.

“Bermula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan, cabaran mengisi kemerdekaan pada masa negara tiada pendapatan, fasa ancaman komunis, konfrontasi, 13 Mei, kegawatan ekonomi dan krisis ekonomi global.

“Tiap kali berdepan ancaman sosial, keselamatan dan politik, kita berjaya tempuh dan cabaran baru kita sekarang bagaimana hendak mencapai Wawasan 2020 dalam persekitaran yang cukup hebat dan ekonomi dunia tidak menentu. Saya tidak mahu kita tersekat di persimpangan jalan,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau mendengar cerita tersebar bila projek yang dirancang menghadapi masalah bermakna kerajaan tiada duit.

Katanya cabaran yang dihadapi ialah bagaimana hendak membelanjakan peruntukan dengan pantas dan cekap supaya matlamat tercapai.

“Saya turun padang untuk berjumpa, melihat dan mendengar sendiri isi hati rakyat walaupun kaki terseliuh,” kata beliau yang melafazkan azam untuk melakukan yang terbaik bagi negara.

Beliau mengajak kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang supaya bekerjasama dengan kerajaan pusat menjayakan agenda yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Katanya semua projek persekutuan kerajaan pusat dipantau bagi memastikan rakyat dapat merasai nikmat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply