News_archive

Pecutan Semakin Deras Menjelang Hari Penentuan Sabtu Ini

By Thursday April 14th, 2011 No Comments

KUCHING, 14 April (Bernama) — Tanpa mengenal lelah menjelajah Bumi Kenyalang, Barisan Nasional (BN) terus menggerakkan jentera kempen bagi mematahkan serangan pakatan pembangkang dengan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-10 memasuki hari terakhirnya Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melalui satu lagi hari yang menjerihkan, apabila melakukan lawatan ke Miri dan bahagian pedalaman termasuk singgah di kawasan terpencil tanah tinggi Bario utara Sarawak untuk berjumpa penduduk di sana.

Najib mengulangi keyakinannya bahawa rakyat Sarawak akan kembali memberikan mandat kepada kerajaan BN untuk terus melakukan transformasi dan menjadi sebuah negeri yang makmur.

Buat pertama kali, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tokoh yang menjadi sasaran serangan parti pembangkang, mendedahkan pelan peralihan kuasanya.

Taib, yang menerajui kerajaan Sarawak selama tiga dekad, memberitahu masyarakat Cina pada satu majlis malam semalam, bahawa beliau akan bersara dalam tempoh dua tahun, demikian menurut laporan Sin Chew Daily.

Berucap pada jamuan malam Persatuan Penduduk Bahagian Kuching yang julung kali diadakan, beliau menyeru masyarakat Cina supaya memikirkan semasak-masaknya dan terus menyokong BN.

Perebutan bagi kerusi majoriti pengundi Cina, yang terletak di kawasan bandar Kuching, Miri dan Sibu menjadi pertarungan utama antara parti komponen BN yang mewakili masyarakat Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan DAP.

Keputusan pilihan raya kali ini menjadi ujian bagi kelangsungan politik SUPP sebagai suara masyarakat Cina di negeri ini. Pada 2006, SUPP kehilangan enam kerusi majoriti pengundi Cina kepada DAP.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menemui lebih 200 wakil pertubuhan dan badan masyarakat Cina, menyeru mereka memberi sokongan kepada BN bagi memastikan mereka mempunyai wakil dalam kerajaan dan membantu memajukan Sarawak.

BN yakin dapat mengulangi kemenangan majoriti dua pertiga meskipun menghadapi tentangan sengit dan hebat daripada pembangkang yang diketuai pakatan parti dari Semenanjung – Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS, Parti Cinta Malaysia serta cabaran daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang bertapak di negeri ini.

Pada 2006, BN Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dan jumlah Dewan Undangan Negeri yang dikuasai BN bertambah menjadi 63 selepas seorang wakil rakyat SNAP menyertai SUPP.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memendekkan lawatannya ke sebuah rumah panjang di Kapit semalam selepas beliau diajukan soalan oleh Tuai Rumah Edison Bugap di Melekun mengenai video seks, jam tangan Omega miliknya dan menegaskan bahawa penduduk rumah panjang ingin mendengar daripada mulut Anwar sendiri mengenainya.

Penasihat PKR, yang partinya menyasarkan kemenangan 49 kerusi, hari ini berdepan dengan lebih banyak pendedahan mengenai tingkah laku beliau daripada pengasas blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.

Penulis blog itu berkata dalam satu temu bual eksklusif Pengarang Kumpulan TV3 Datuk Ashraf Abdullah di Perth baru-baru ini, Anwar sudah hilang kredibiliti dan terbukti gagal menunjukkan kepimpinan yang efektif sejak janjinya bahawa pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 Sept 2008 tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu, polis menasihatkan para pengundi supaya keluar mengundi awal pada Sabtu ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan hujan pada sebelah petang sehingga awal Mei.

Proses undian pos bagi polis dan anggota tentera selesai hari ini selepas dilaksanakan dua hari.

Sumber : Bernama

Leave a Reply