News_archive

PCA, FTA Malaysia-EU Adalah Fokus Segera, Kata Duta Malaysia Ke Belgium

By Tuesday December 6th, 2011 No Comments

BRUSSELS, 6 Dis (Bernama) — Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), adalah fokus segera bagi Duta Malaysia ke Belgium, EU dan Luxembourg Datuk Zainuddin Yahya.

“Indeks prestasi utama saya adalah untuk memastikan kelancaran perkembangan dan dimuktamadkan FTA dan PCA,” katanya kepada para wartawan Malaysia pada majlis makan malam jaringan bersempena seminar perdagangan bagi para wartawan Asia Tenggara anjuran Direktorat-Jeneral EU bagi Perdagangan dari 5-7 Dis.

Zainuddin berkata PCA adalah syarat awal bagi dikuatkuasakan FTA.

Beliau, yang berpindah ke Belgium pada September tahun ini, berkata wujud keperluan fleksibel dan semangat bertolak ansur antara EU dan Malaysia, bagi mencapai hubungan perdagangan jangka panjang dan yang mampan.

Malaysia komited untuk memuktamadkan perundingan FTA dengan EU menjelang pertengahan atau akhir tahun depan.

Pada 7 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia menjangka FTA antara Malaysia dan EU dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 18 bulan.

Zainuddin berkata EU dan Malaysia komited mempercepatkan rentak perundingan itu bagi memastikan FTA dan PCA boleh dimuktamadkan di dalam tempoh yang dijangkakan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply