Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Pasukan ampuh, padu: Najib - Najib Razak
News_archive

Pasukan ampuh, padu: Najib

By Sunday March 29th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam menyifatkan barisan baru kepemimpinan Umno yang dipilih perwakilan perhimpunan agung parti kelmarin sebagai pasukan yang ampuh dan padu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, keputusan pemilihan itu menunjukkan perwakilan mahukan barisan pemimpin yang boleh bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha memperkukuhkan parti serta Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya pasukan ini turut diterima rakyat dan ini memberi keyakinan bahawa apa yang kami janjikan dari segi perubahan, insya-Allah dapat dilaksanakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai barisan kepemimpinan baru parti, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui ketika melawat pusat operasi media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno, di sini.

Berdasarkan keputusan pemilihan kelmarin, Najib yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Umno, akan bergandingan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Timbalan Presiden parti.

Tiga jawatan Naib Presiden dimenangi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kepemimpinan baru Umno sudah memulakan tugas sebaik selesai keputusan pemilihan diumumkan, malam kelmarin, dengan berbincang berhubung tiga pilihan raya kecil iaitu Parlimen Bukit Gantang, Perak; Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Air, Sarawak.

Katanya, perbincangan malam kelmarin itu membabitkan Najib bersama beliau dan tiga Naib Presiden yang baru.

Mengenai keputusan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menyaksikan beberapa menteri dan menteri besar tewas, Muhyiddin berkata, beliau terkejut dengan perkara itu tetapi menghormati undi perwakilan.

Mengenai sikap berterus terangnya selepas ini seperti yang dilakukan untuk menuntut perubahan dalam parti sebelum pemilihan, Muhyiddin berkata, beliau akan terus menyuarakan perkara yang boleh membawa perubahan positif kepada parti.

“Bagaimanapun, saya perlu memahami kedudukan dan tidak perlu ‘memekik’ tetapi boleh duduk berbincang seperti ini (sidang media) kerana Najib ada sikap untuk mendengar dan berkongsi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply