Pasca merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera…

By Saturday September 14th, 2013 No Comments

Pasca merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.

Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Maka, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik oleh semua pihak agar kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi sebuah negara maju yang sejahtera menjelang tahun 2020.

Sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil dari pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010 untuk menyambung legasi yang telah ditinggalkan. Dan menjadi harapan saya, insyaAllah, agar pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini diteruskan pula oleh generasi pemimpin akan datang.

Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain menjelang tahun 2020. Model Baru Ekonomi juga memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi memastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat dari pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.

Manakala, Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 hingga 2015, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, ketelusan dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan di kalangan Bumiputera itu sendiri.

Bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak agar jangan bersalah sangka atau bersalah faham tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Kita lakukan inisiatif dan haluan besar ini bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.

Apa yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmuran negara ini dapat diraih serta dinikmati oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151600284145952/

Leave a Reply