News_archive

Pas sambut baik pendirian PM

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 16 Jun – Pas menerima dengan hati terbuka keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keikhlasan parti itu berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, keyakinan yang disuarakan Perdana Menteri akan dimaklumkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini berada di luar negara.

“Hari ini sudah ada respons positif daripada Perdana Menteri mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

“Saya terima dengan terbuka hati kenyataan itu dan akan maklumkan kepada Presiden parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Nasharudin mengulas kenyataan Najib hari ini bahawa beliau yakin dengan keikhlasan Pas berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri berkata, UMNO terus mengamalkan dasar terbuka dan bersedia menjalinkan kerjasama yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

Tambah Nasharudin, Pas sentiasa membuka ruang untuk berbincang dengan sesiapa sahaja berhubung penubuhan kerajaan perpaduan.

“Ini adalah pendirian Pas dalam muktamar di Ipoh tahun lalu dan diulangi dalam ucapan dasar Presiden dalam muktamar tahun ini. Kita tidak tutup ruang untuk berbincang. Kita suka untuk berbincang dengan sesiapa saja.

“Namun ingin saya tegaskan, isu Pas masuk UMNO atau Pas masuk Barisan Nasional (BN) tidak timbul dengan pendirian ini,” jelasnya.

Nasharudin menambah, cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan adalah untuk menyelesaikan kemelut ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya di dalam negara.

Beliau tidak menafikan keyakinan yang dinyatakan Perdana Menteri itu merupakan satu langkah awal ke arah penubuhan kerajaan perpaduan.

“Yang penting Pas serius dan perkara ini difahami Perdana Menteri. Saya sendiri akan bawa perkara ini pada Pas. Ini satu benda yang besar,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Nasharudin turut yakin pertarungan Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai tidak akan memberi sebarang kesan kepada cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

“Pas akan tetap bertarung dengan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai seperti mana pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nasharudin, akan ada mesyuarat di antara parti-parti dalam pakatan pembangkang berhubung pendirian Pas itu.

“Namun saya tidak dapat bercakap apa-apa tentang itu pada masa ini,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply