BlogFeatured Articles

Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang Segambut

By Monday April 17th, 2017 No Comments

Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengamalkan falsafah bersifat inklusif. Biarlah sesuatu kawasan itu masih belum atau tidak diwakili oleh Barisan Nasional, kita tetap terus berkhidmat kepada rakyat semuanya.

Sejurus itu, petang tadi saya berbesar hati merasmikan pecah tanah Pangsapuri Bandaraya di Sungai Udang Segambut, sebuah projek Kerajaan Persekutuan bagi membantu rakyat daripada golongan M40 dan B40 – golongan belia dan yang layak memohon iaitu yang berpendapatan di bawah RM10 ribu sebulan – agar mempunyai tempat kediaman sendiri yang selesa.

Projek perumahan ini bakal mempunyai 1,251 unit apartmen dengan 2 blok setinggi 32 tingkat dan 1 blok setinggi 34 tingkat. Setiap unit apartmen berkeluasan 807 kaki persegi dan mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air. Selain itu, projek perumahan ini juga akan mempunyai kelengkapan seperti surau, dewan, kolam renang dan pelbagai lagi fasiliti buat keselesaaan penduduk.

Kita juga mengambil kira kadar kebolehcapaian dan aksesibiliti kepada bakal penghuni, dan suka saya tekankan bahawa lokasi projek perumahan ini adalah amat strategik, di mana ia terletak di Pintasan Segambut, Kampung Sungai Udang, iaitu lebih kurang 10 km dari pusat bandaraya dan mengambil masa hanya 15 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur, selain jaraknya yang juga cuma 1 km daripada KTM Segambut.

Lebih menarik lagi, projek ini juga mengguna pakai kaedah hybrid di mana bakal penghuni membayar sewa RM800 sebulan, tetapi cuma RM500 adalah kadar sewa, manakala baki RM300 dijadikan simpanan dan dipulangkan semula selepas 5 tahun.

Ini adalah sebahagian inisiatif Kerajaan bagi membantu para penghuni golongan belia ini mempunyai duit simpanan mencukupi untuk digunakan sebagai pembayaran downpayment untuk membeli rumah sendiri kelak.

Hujung minggu yang lalu, saya telah melancarkan 2 projek perumahan rakyat di Terengganu, yakni PPR Bukit Nanas dan Rumah Idaman Rakyat di Kampung Santong, Paka. Beberapa minggu sebelum itu, saya menyerahkan kunci kepada pemilik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Putrajaya, projek perumahan 1Razak Mansion, dan banyak lagi projek perumahan seperti PR1MA, RUMAW1P, PPR dan sebagainya.

Salah satu daripadanya, suka saya kongsikan adalah pembangunan semula Kerinchi Residensi yang saya sampaikan kunci secara rasmi kepada penduduknya juga beberapa minggu lalu. Sebelum ini Kerinchi Residensi ini dikenali sebagai Rumah Pangsa Empat Tingkat Kg Kerinchi, rumah pangsa yang begitu daif di tengah-tengah kemegahan pembangunan bandaraya Kuala Lumpur.

Hari ini, rumah pangsa itu telah Kerajaan naik taraf menjadi kediaman yang bernilai hampir setengah juta ringgit, mengubah dan meningkatkan kualiti kehidupan penghuninya menjadi lebih selesa dan sejahtera, Alhamdulillah.

Namun, sayang sekali, 34 daripada penduduk asal Rumah Pangsa Kg Kerinchi itu yang menentang akibat termakan hasutan pembangkang, hari ini menggigit jari dan berputih mata, mereka langsung tidak mendapat apa-apa, cuma penyesalan yang tidak terhingga. Lebih sedih lagi, pembangkang yang menghasut itu lepas tangan dan buat tidak tahu sahaja kepada nasib yang menimpa penduduk yang telah dihasut tadi.

Inilah pembangkang, tugas mereka hanya menghasut, menipu dan berbohong, tanpa sedikit pun mengambil kira kesan mahupun mengambil peduli nasib rakyat teramai. Janganlah termakan lagi dakyah dan pembohongan mereka.

Sebaliknya, teruskanlah menyokong kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa menepati janji, membela nasib rakyat dan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang meletakkan rakyat sebagai yang paling utama, sepertimana yang terbukti hari ini melalui pecah tanah Pangsapuri Bandaraya di Sungai Udang Segambut yang saya lancarkan dan banyak lagi sebelum itu.

Insya-Allah, Kerajaan Barisan Nasional akan terus berkhidmat, untuk Rakyat, untuk Negaraku tercinta !

Leave a Reply