BlogFeatured Articles

Pangkalan Udara Sendayan

By Thursday April 13th, 2017 No Comments

Pagi ini saya berkunjung ke Negeri Sembilan, melawat Pangkalan Udara Sendayan yang sudah hampir 80 peratus siap.

PU Sendayan ini adalah satu daripada 8 Pangkalan Udara yang dibangunkan oleh 1MDB bagi penempatan semula aset daripada Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi.

Lokasi-lokasi lain adalah di PU Kuantan, PU Gong Kedak, PU Butterworth, Kem Kajang bagi aset 31 Rejimen Artileri Diraja Tentera Darat, dan PDRM Subang dan Ipoh bagi aset Unit Udara PDRM.

PU Sendayan ini cukup luas, dengan keluasan 750 ekar, dilengkapi Markas Pemerintahan Pendidikan Latihan Udara dan juga bakal menjadi pusat latihan tentera udara terbesar TUDM.

PU Sendayan ini juga dilengkapi dengan unit-unit kediaman bagi anggota TUDM, keseluruhannya boleh menempatkan mereka dan ahli keluarga seramai 1900 orang.

Saya sempat melawat sebuah rumah contoh apartmen kelas F yang disediakan bagi pegawai muda, selesa dan luas bagi mereka yang bujang atau baru memulakan keluarga.

Dalam taklimat ringkas tadi, saya turut dimaklumkan bahawa sebanyak 61 peratus daripada kontraktor yang bertanggungjawab melengkapkan pakej pembinaan di sini terdiri daripada golongan Bumiputera, dan PU Sendayan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, Insya-Allah.

Alhamdulillah, meskipun berdepan dengan pelbagai tohmahan dan kecaman, kita tidak pernah leka mahupun berpaling daripada menunaikan tanggungjawab sebagai Kerajaan, bukan sahaja menjaga aset ketenteraan, tetapi juga kebajikan anggota-anggota tentera serta keluarga mereka.

Saya yakin, bila siap sepenuhnya dan anggota-anggota TUDM telah berpindah masuk ke rumah-rumah baharu bersama ahli keluarga masing-masing, mereka akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa di sini, Insya-Allah.

Leave a Reply