BlogFeatured Articles

Pandangan Akademik Mengenai Ekonomi Malaysia

By Thursday March 9th, 2017 No Comments

Pagi ini, saya telah mengadakan sesi konsultasi bersama para akademik fakulti ekonomi dan perniagaan daripada Institut Pengajian Tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.

Kesemua yang hadir adalah pakar yang mempunyai analisis mendalam mengenai ekonomi Malaysia, dan pandangan daripada mereka berupaya membantu kita bergerak maju ke hadapan sebagai sebuah negara menghadapi dunia yang makin pesat berkembang.

Polisi-polisi kita tidak boleh reaktif, sebaliknya perlu bersifat proaktif. Kita kini berada dalam ekonomi yang memerlukan perubahan struktural, dan untuk kita terus kekal berdaya saing, kita perlukan infrastruktur dan pelaburan dalam modal insan.

Banyak pendapat dan idea yang telah diutarakan, dan saya ambil perhatian semuanya.

Antara lain, pakar akademik dari UM menyatakan statistik dan kebimbangan mengenai masyarakat yang semakin tua yang akan membawa kesan kepada bekalan tenaga buruh dan juga industri seperti kesihatan dan sebagainya.

Bercakap mengenai kesihatan, pakar dari UCSI menyatakan bahawa kita perlu memandang kepada kenaikan kos penjagaan kesihatan, implikasi daripada rakyat Malaysia kini yang kurang menjaga kesihatan, salah satu indikasinya adalah kadar obesiti negara yang telah meningkat.

Pada masa sama, pakar ekonomi dari UTAR menyuarakan pendapat pentingnya buat kita memberi perhatian kepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta mengenengahkan mereka kepada skil teknikal dan vokasional.

Saya juga terima baik pandangan kritikal mengenai ekonomi kita terutama dari segi perkhidmatan, di mana kita masih lagi di takuk perkhidmatan nilai rendah, atau low value services. Benar, kita perlu mengorak langkah untuk meningkat naik dalam nilai rantaian, menyasarkan kepada perkhidmatan dan pendapatan lebih tinggi untuk rakyat.

Selain itu, ada yang turut menyentuh mengenai TN50 dan menyatakan bahawa kita perlu mula membayangkan bagaimana dan di mana Malaysia yang ingin kita lihat pada 2050. Dari situ, kita perlu mula merancang untuk mencapainya bermula sekarang.

Kesemua pandangan dan idea yang telah dikemukakan ini bernas belaka, dan adalah sebab mengapa saya lancarkan TN50. Ia akan mengambil masa yang lama, mungkin satu atau dua generasi akan datang, untuk melihat perancangan kita mencapai hasil yang diinginkan. Kerana itulah kita perlu bertindak sekarang.

Sesi-sesi sebegini amat bagus, menghubungkan Kerajaan dengan pandangan profesional daripada pakar-pakar yang benar-benar arif dalam bidang mereka. Insya-Allah, bersama kita mampu mencorakkan masa depan gemilang buat generasi akan datang.

Leave a Reply