News_archive

Palanivel Dilantik Menteri Peneraju Bangunkan Sosio Ekonomi Masyarakat India – Najib

By Sunday January 22nd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G.Palanivel sebagai menteri peneraju untuk memimpin usaha kerajaan bagi membangunkan taraf sosio ekonomi masyarakat India.

Pelantikan Palanivel yang juga Presiden MIC itu diumumkan Najib pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kinrara di sini.

Najib berkata masyarakat India harus membina satu visi yang berpaksikan kepada “nambikei” atau kepercayaan teguh di antara satu sama lain yang berpotensi untuk membawa perubahan ketara bagi masa depan masyarakat berkenaan.

“Kalau kita berpandukan kepada prinsip dan falsafah yang terkandung dalam perkataan ‘nambikei’ dan kalau kita ada ‘nambikei’ antara kita, tidak ada apa yang tidak boleh kita capai dan tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Saya mengharapkan ‘nambikei’ ini, yang menjadi hasrat kita sama-sama bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), terus dapat membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya.

Najib berkata kerajaan komited terhadap masa depan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, sekaligus terhadap masa depan komuniti kaum India di negara ini di mana bagi tempoh antara 2009 hingga 2011 kerajaan telah memperuntukkan RM340 juta bagi pembangunan fizikal dan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara.

Katanya, jika diambil kira daripada segi peruntukan pengurusan dan pentadbiran, kerajaan telah melabur kira-kira RM2 bilion untuk sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009.

“Dalam Belanjawan 2012, saya telah mengumumkan sekolah-sekolah Tamil akan mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi kerja menaiktaraf dan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan fizikal.

“Senarainya sedang disediakan dan diharap jumlah ini akan dibelanjakan sebaik-baiknya dan benar-benar dapat memberi manfaat kepada sekolah berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga bekerjasama dengan dana-dana lain seperti “Community Chest”, sebuah dana kebajikan yang telah menyumbangkan RM5 juta kepada sekolah Tamil pada tahun lepas sahaja.

Katanya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan bukan kerajaan (NGO) juga diharap dapat memberi sumbangan kepada pembangunan pendidikan negara termasuk untuk sekolah-sekolah Tamil.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Community Builders Foundation (CBF) yang pengerusinya ialah Presiden MIC. Melalui NGO ini kita telah membantu lebih 4,000 pelajar sekolah Tamil di seluruh negara yang mana mereka merupakan murid yang lemah membaca dan menulis dan hari ini mereka sudah dapat mengatasi kelemahan itu melalui program CBF.

“Saya juga telah membantu Sri Murugan Centre untuk melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya.

Hasil daripada usaha tersebut, pencapaian sekolah-sekolah Tamil menunjukkan trend yang begitu menggalakkan apabila bilangan pelajar yang mencapai keputusan 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah meningkat 47 peratus antara tahun 2009 dan 2011, katanya.

Najib berkata pada tahun lalu, jumlah lulus bagi semua mata pelajaran peperiksaan UPSR telah mencapai rekod yang memuaskan iaitu 53 peratus dan diharap jumlah ini akan meningkat lebih tinggi lagi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply