News_archive

Palanivel Dilantik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

By Saturday July 30th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari Sabtu mengumumkan pelantikan Presiden MIC Datuk G.Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

“Sekarang MIC perlu melakukan tugasnya dengan baik dan kami (kerajaan) boleh melakukannya dengan baik untuk menunjukkan keikhlasan kami. Selaras dengan komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat India, saya mengusulkan untuk menjadikan G.Palanivel sebagai menteri penuh,” katanya.

Sebelum ini, Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lepas. Pada pilihan raya umum Mac 2008, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sudah memberi perkenan terhadap pelantikan Palanivel, yang dijangka mengangkat sumpah minggu depan.

“Dalam masa terdekat (angkat sumpah). Kami sedang menunggu kepulangan Yang di-Pertuan Agong ke tanah air yang kemungkinan minggu depan. Kami akan dapatkan tarikhnya daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan tugas dan porfolio Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas Presiden MIC itu mengangkat sumpah.

Najib berkata pelantikan Palanivel sebagai menteri penuh adalah bagi “pertukaran” untuk dua jawatan timbalan menteri milik MIC yang kosong iaitu jawatan Palanivel dan Datuk T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya sama ada pelantikan itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Najib berkata amalan itu sebenarnya telah dipraktikkan ketika pentadbiran bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang merupakan Perdana Menteri Kedua.

“Saya hendak kembali ke era Tun Razak apabila ada (wakil) India Malaysia dalam Kabinetnya,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu juga adalah bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap masyarakat India.

“Sebagai menghargai peranan masyarakat kaum India dan masyarakat kaum India memerlukan peranan yang lebih berkesan melalui dua orang menteri penuh,” katanya.

Selain Palanivel, seorang lagi pemimpin MIC yang berada dalam Kabinet sekarang ialah Timbalan Presidennya Datuk S. Subramaniam yang merupakan Menteri Sumber Manusia.

Ditanya sama ada akan ada rombakan Kabinet berikutan pelantikan Palanivel itu, Najib berkata: “Saya tidak tahu. Hari ini cuma membabitkan satu pengumuman.”

Sumber : Bernama

Leave a Reply