Pada bulan Januari dan Februari lalu sebelum program vaksinasi negara…

By Monday June 7th, 2021 No Comments

Pada bulan Januari dan Februari lalu sebelum program vaksinasi negara bermula, pernah seru kerajaan untuk bersedia untuk keadaan di mana kekurangan bekalan vaksin akan menjadi lambakan vaksin pada bulan-bulan mendatang.

Perkara serupa pernah berlaku di mana kekurangan bekalan face mask pada tahun lepas yang kini menjadi lambakan.

Nampaknya kita semakin dekat dengan keadaan lambakan vaksin seperti diramal saya pada awal tahun ini.

Negara Amerika Syarikat yang pada kemuncaknya memberi 4 juta dos sehari sudah hampir mencapai matlamat vaksinasi penuh.

Begitu juga dengan negara United Kingdom yang pernah beri 900 ribu vaksin sehari.

Keseluruhan negara-negara Kesatuan Eropah yang kini memberi 5 juta dos sehari diramal akan selesai divaksin dalam tempoh 3 bulan lagi.

Negara China yang kini memberi lebih 20 juta dos sehari secara konsisten turut akan selesai dalam tempoh 2 months.

Bayangkan berapa banyak dos vaksin akan dikosongkan kepada kita apabila negara-negara tersebut selesai?

Bagi negara Malaysia pula, kerajaan sasar untuk memberi vaksin kepada 23.9 juta orang dewasa atau 47.8 juta dos melalui 3 fasa.

Kerajaan juga berkata mereka sasar untuk menaikkan kadar pemberian vaksin kepada 160,000 dos sehari.

Oleh sebab program vaksinasi kita agak terlambat maka kadar maksima disasar kerajaan ketika ini tidak akan mencapai matlamat jikapun kadar 160,000 dos sehari ini dicapai hari ini juga.

Biarpun jumlah diberi semalam cuma 81,183 dos.

Pada pengiraan saya, kadar purata minima dos sehari yang diperlukan bagi mencapai sasaran perlulah sebanyak 212,623 dos sehari bermula hari ini juga.

Itupun sebelum mengambil kira kemungkinan besar untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak dan remaja umur 12 tahun ke atas seperti sedang dilaksanakan negara-negara lain.

Sekiranya kerajaan tidak ingin gagal mencapai sasaran bagi mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya pada akhir tahun, kerajaan patut:

a) meningkatkan setinggi mungkin kapasiti pemberian vaksin
b) gunakan pendekatan lain untuk memberi vaksin
c) menggalakkan penduduk Malaysia dan warga asing dalam negara untuk berdaftar dengan menggunakan pelbagai insentif dan syarat.

Bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin, kerajaan sudah mulakan langkah pertama seperti disaran saya dengan melibatkan 1,000 buah klinik swasta.

Namun, ianya hanya sebahagian kecil dari lebih 7,000 klinik swasta dalam negara.

Jika masalahnya ialah bayaran yang diberi kepada klinik swasta tidak cukup menarik bagi mereka maka naikkan sahaja kadar bayaran ini.

Jika mereka minta caj servis RM40 seorang diberi vaksin tetapi kerajaan hanya mahu bayar RM20 seorang, naikkan saja ke kadar RM50 seorang.

Jangan kedekut. Perlu ingat bahawa doktor dan nurse klinik swasta juga mengambil risiko dijangkit semasa menawar perkhidmatan ini.

Bayangkan kemudahan yang bakal diberi kepada warga Malaysia dan peningkatan kapasiti sekiranya kesemua lebih 7,000 klinik swasta mengambil bahagian?

7,000 x 30 orang sehari = 210,000 dos sehari.

Sebab tambahan kos ini adalah amat kecil berbanding kerugian bagi negara sebanyak RM2.4 bilion sehari jika negara perlu menghadapi satu hari lagi lockdown penuh sahaja.

Sebab itu, saya tak pernah pertikaikan jumlah kos program vaksinasi kerajaan sehingga kini sebab saya tahu jika ada penyelewengan pun, lambat laun akan timbul pada masa depan.

Fokus saya hanya pada melihat program vaksinasi dipercepatkan selaju mungkin.

Kerajaan juga akan perlu tukar pendekatan dari “anda datang ke sini untuk dapat vaksin” ke “kita akan bawa vaksin kepada anda”.sekarang juga untuk memudahkan warga Malaysia mengambil vaksin.

Malah beberapa negara-negara lain sedang ambil pendekatan ini di mana warga mereka boleh mengambil vaksin melalui drive-thri, mobile van, di sekolah, di shopping mall serta di pusat-pusat komuniti dan keagamaan.

Saya sedar ianya amat susah untuk mewajibkan melalui undang-undang supaya semua Rakyat perlu menerima vaksin sebab ini melibatkan soal kesihatan peribadi Rakyat.

Hanya beberapa negara sahaja dalam dunia termasuk Indonesia telah mengambil langkah drastik ini.

Kebanyakan negara-negara lain pula memberi kelebihan kepada mereka yang sudah diberi vaksin sebagai ganjaran untuk divaksin seperti:
– baucer tunai atau ganjaran program kerajaan lain;
– hanya meeka yang telah divaksin dibenarkan naik penerbangan atau pengangkutan awam, dibenar keluar negara atau rentas negeri, dibenar masuk stadium, konsert atau tempat hiburan dan sebagainya.

Bagi warga asing dan pekerja asing pula, kerajaan juga boleh menetapkan syarat bahawa mereka perlu selesai menerima dua dos vaksin sebelum tarikh tertentu. Sekiranya tidak, visa atau permit kerja mereka akan dibatalkan serta-merta dan mereka akan dihantar balik.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157937071125952/

Leave a Reply