Speeches

Opening Ceremony of the 11th Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition

By Tuesday December 6th, 2011 No Comments

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung.

Bukan sahaja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini tetapi yang paling penting, persidangan pada kali ini telah dapat  disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya, elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dahulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita.

Saya memanjat rasa syukur kepada Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif.

Saya menghargai Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden yang telah memberi sokongan yang padu kepada ucapan itu.

Saya juga rasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan ini, semua perwakilan telah memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah juga mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang telah saya bentangkan dalam ucapan itu telah berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO ialah parti rasis.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyeru orang UMNO supaya memberi sokongan sepenuhnya kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua Bahagian Kepala Batas.

Kelmarin, saya telah menyenaraikan beberapa tokoh tersohor yang telah banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan yang besar kepada parti.

Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti namun saya telah menerima beberapa SMS yang minta saya memberi pengiktirafan kepada Tun Mustapa, kerana beliau telah bubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya ekspektasi saya  apabila Persidangan Agung UMNO kali ke-62 ini diadakan.

Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti letakkan beberapa  sasaran sama  ada sasaran tersurat atau pun tersirat.
Saya nak kongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai, maka persidangan ini boleh dianggap sebagai satu persidangan yang amat berjaya.

Sasaran pertama, saya hendak persidangan ini dapat menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan sahaja orang di dalam dewan ini tetapi yang berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen, yang ada di ruang-ruang dalam PWTC, pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga, UMNO sebagai satu organisasi politik, UMNO sebagai teras kepada politik tanah air kita ini, berada di dalam keadaan yang kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini; sebab banyak orang sebut kemungkinan persidangan ini yang terakhir sebelum pilihan raya, orang sebut; saya hendak persidangan ini menggambarkan bahawa kita berada dalam kesiapsiagaan yang amat baik bersedia untuk turun ke medan bakti, berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti yang bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga, saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan, gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai Pelan Transformasi Nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat, saya inginkan bahawa persidangan ini, segala-gala yang menjadi pengisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia, 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia, boleh meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Mereka tidak akan kecewa kalau  meletakkan pengharapan atas bahu dan jemala UMNO ini.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi, saya cuba buat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI. Wakil Sabah telah beri KPI kepada saya, tapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini.

Mungkin orang kata saya ini ‘bias’, saya presiden kepada parti, tentulah saya beri markah yang tinggi.

Tetapi, saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga merupakan persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah, lebih kuat daripada ikrar baiah di kalangan para perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian kerana itu membuat, mencatit satu sejarah baru dalam perjuangan parti.

Baik kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya juga bertanya pada diri saya sebagai ketua  kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang  tanya ke arah mana kita nak bawa negara kita?

Kalau orang tanya dalam tahun-tahun mendatang ini, apakah di bawah kepimpinan yang sedia ada ini, apakah yang boleh mereka harapkan sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita secara senyap mahupun secara terbuka, tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua, dan ini ada sangkut paut kita dengan keinginan UMNO, dengan perjuangan roh yang kita bawa ini.

Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti, cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, Insya-Allah Malaysia akan menjadi sebuah negara  maju berpendapatan tinggi di bawah kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), itu pertama.

Yang kedua, dalam konteks negara maju itu, kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi, siapa kata kita tak ada agenda Melayu atau pun agenda bumiputera? Memang kita ada!

Bila saya laksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak kata ketepikan agenda Melayu/bumiputera, bila saya turun ke bawah, ke ladang estet, ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa kurang komitmen terhadap kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Saya lakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik, kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan daripada  orang-orang lain.

Sebab itulah saudara-saudari sekalian, kita buat macam-macam perkara untuk mencapai status  negara maju, kita ada Pelan Transfomasi Ekonomi, 1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun.

Kita akan memastikan pertumbuhan  ekonomi lima, enam peratus setahun, kita dah  tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk  mencapai taraf negara maju.
Dan Alhamdulillah, dengan adanya pelancaran dan  pelaksanaan sedemikian, bila ekonomi Eropah  merudum,  bila ekonomi  Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak  menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah  ekonomi kita ini mapan dan stabil, dan dapat  menunjukkan pertumbuhan yang  baik.

Di Amerika Syarikat, bila saya berjumpa dengan  Presiden Barack Obama, dalam kepala dia  penganggurannya sudah melebihi sembilan  peratus. Saya boleh sebut pada dia, “kita ada full  employment di Malaysia Mr. President”.

Kalau  Amerika pertumbuhannya satu dua, peratus, saya  boleh cakap pada dia, “Mr. President, kita ada  pertumbuhan 5.8  percent last quarter”.

Sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan  UMNO dalam negara kita, bukan kejayaan saya  secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi  membuktikan bahawa dalam apa jua keadaan, mereka boleh  letakkan  harapan, trust in us to lead the nation for Malaysia, sebab kita tak pernah mengecewakan  rakyat.

Yang jadi masalah ni, puak sana… Dia ni bukan kuat sangat, tapi dia pandai berkokok. Dia  berkokok kuat macam ayam tapi telurnya satu je,  kadang-kadang tak bertelur pun. Ayam jantan!

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana,  bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, main sini main sana…

Bohong, tak berhenti bohong. Lepas itu, dia kata  kamilah juara tapi parti sendiri kucar kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah di  Malaysia, apa dia? Saya tak payah sebut,  perwakilan sebut… kuat sikit… 16 September…

Dia nak berarak ke Putrajaya, dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu untuk mengangkat sumpah dia sebagai Perdana  Menteri.

Saya bersama dengan Pak Lah masa tu, kita pun  geleng kepala, daripada mana dia bercakap ni?  Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan  Agong pun geleng kepala.

Lepas tu, dia kata 30 orang kita bersedia untuk menyeberang sebelah  sana. Kita pun orang kata play safe, kepung dia, jaga dia, ‘bidaah’! Tawaran ada, tapi tak ada seorang Ahli Parlimen kita yang menyeberang sebelah sana.

Ada dijanji macam-macam jawatan. Tapi dia pandai, dia gunakan orang yang ketiga. Orang kata third partysampaikan. Satu proses yang tidak  demokratik.

Lepas tu, dia bagi tahu, tentera  Malaysia ada di belakang dia, Panglima Angkatan  Tentera, Tan Sri Aziz menyokong dia.

Saya kawan  baik dia (Aziz), dia setia dan taat pada kerajaan. Ini pembohongan yang terbesar dalam sejarah. Lagi  apa? Banyak lagi..

Dia serang saya, fitnah saya tiga  tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya  pun dia serang. Isteri saya yang duduk diam-diam tu pun kena serang juga.
Saya dah bersumpah atas nama Allah di masjid,  empat kali saya bersumpah… Saya nak tanya dia,  berapa kali dia bersumpah?

Ada dia bersumpah di dalam masjid? Ada dia  bersumpah di luar masjid? Ada dia junjung al-Quran?

Di mahkamah pun tak berani  bersumpah. Masuk dalam kandang orang bersalah, tak berani bersumpah, buat kenyataan politik.

Tapi ini bukan soal politik, ini bukan kes kita lawan dia, ini kes Saiful lawan dia. Tak kena mengena dengan UMNO!

Siapa pilih Saiful? Lain tu dot dot dot… Banyak lagi cerita sebenarnya, banyak lagi. Macam inikah orang nak jadi Perdana Menteri?

Banyak  lagi bab-bab lain boleh cerita. Kita tengok parti tu parti anak beranak. Saya dah sebut  perkara tu.

Parti ini mencatat sejarah dunia. Dia ada rekod Guiness Book of  Records, sebab parti yang paling ramai sekali orang  keluar daripada parti.

Saya dah buat semakan, enam Ahli Parlimen, lima ADUN, Timbalan  Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ahli Majlis Tertinggi,

Tak cukup dengan itu, lawyer peribadi pun dah  keluar jadi Bebas. Pakai  Pengerusi DAP jadi lawyer dia sekarang, segala rahsia dia  pada DAP sekarang ini, betul tak?
Lawyer tentu tahu segala-galanya kan?

Rahsia dia dengan DAP,  DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, jalan lain macam sekarang sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut tentang demokrasi, ada demokrasi ke  dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau  demokrasi ada, takkan Datuk Zaid Ibrahim kata tak tahan lagi. Dia kata, sebab bila bilang undi, undi tu lebih dari perwakilan.

Lepas itu, kata pilihan raya kita tak betul, bidaah.  Ini orang Pahang cakap bidaah, tak betul.
Bila masa mengundi tu, dia ada tak? Pembangkang ada tak dalam tempat pengundi tu? Ada!

Dia ada, kita  pun ada. Dia letak orang yang ‘cengei’ sikit,  kita pun  cuba letak orang ‘cengei’ sikit tapi kadang-kadang orang kita kalah daripada dia.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi, jadi macam  zaman peristiwa Hosni Mubarak di Egypt, boleh dapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulate peti undi ini, ingat kita nak lepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak lepaskan negeri-negeri lain ke tangan mereka? Ingat kita nak biarkan Kelantan, 21 tahun Kelantan di bawah Pas? Tentu  tidak!

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur! Tapi dak, buat Bersih 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium. Sebab apa? Sebab skrip dah ada dah.

Skrip Mat Sabu dah ada, skrip dia masuk hospital dah ada. Sebab bila tiba-tiba kena papah pula tu, Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood!

Dah siap dah skrip tu, siap-siap masuk dalam hospital terlentang, baju kuning lagi. Kalau masuk hospital ganti la baju, ini tak ganti, semangat penipu la ni.

Tak kena apa pun, kita dah bagi tahu polis, saya dah bagi tau Datuk Hisham, kata jangan usik dia, polis tak usik dia pun.

Tapi dia buat macam dah kena belasah. Tak kena, orang tak jentik dia pun, tak! Tapi dah siap, skripnya dah siap nak masuk dalam YouTube nak tayang ke seluruh dunia kononnya kitalah  police state di Malaysia.

Lepas tu, Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar.. kata polis langgar, dia ada kes.
Saya setuju  perwakilan kata lagi banyak dia cakap, lagi untung  kita, aset kita.
Parti Pas ni, saya nak kata apa perkataannya? Tahun sudah saya kata bangang, saya nak kata  perkataan‘kedalui’. Kedalui ni bahasa orang Pekan.

Sebab dia dah tahu dia dah diperkudakan oleh DAP, betul tak? Diperalatkan oleh DAP, kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada jadi rakan DAP!

Kerana nak kerusi, pakat.  Inilah sebabnya, saya cakap di sini saya tak perlu yakin pada tuan-tuan, saya nak yakin orang di luar, 12 juta lebih pengundi.

Yakinlah jika ada  pakatan yang rapuh seperti itu, yang tidak ikhlas  sebenarnya, yang ada pendirian yang  bertentangan antara satu sama lain, kita tak boleh  serahkan negara kita tercinta ini kepada mereka!

Bab  pembangkang banyak cerita lagi, lain-lain hari kita  cerita lagi. Saya nak sebut bahawa tentang parti yang kita  kasihi. Transformasi yang paling mencabar sekali  ialah transformasi pada diri kita, betul tak?

Sebab,  peristiwa hijrah dah berakhir tetapi perubahan  yang besar sekali berlaku pada diri kita! Kita cakap tentang parti, lepas ini kita nak balik  kawasan. Ujian terbesarnya ialah sejauh mana apa  yang kita perkatakan kita bawa ke kawasan.

Kita dah baiah tadi, kita dah berikrar, kita  balik  kawasan janganlah kita lihat Ketua Bahagian  itu, janganlah ada rasa menyampah.

Kalau kita tengok… Ketua tengok pada timbalan,  jangan pula dia kata, ‘eh! dia ni nak jawatan saya’. Bagi kerjasamalah… Kasih  sayang yang sejati.

Kita mesti ada rasa, semangat macam Timbalan Presiden sebut tadi, semangat sepasukan sebab  bila kita buat analisis, yang dulu dan sebelum ini kita  kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati  parti dia sendiri, betul tidak? Kalau semuanya taat dan setia, Insya-Allah kita  boleh menang pada bila-bila masa!

Jadi lepas ni kita balik, kita pastikan barisan kita ini  kukuh kerana  kita berdepan dengan ujian paling besar.

Beringatlah, pilihan raya ini  adalah yang paling getir dalam sejarah tanah air. Pilihan yang dihadapkan kepada rakyat adalah  pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat  masa depan yang cerah benderang bagi sebuah  Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan  Barisan Nasional atau menempa jalan tragis  penuh kehancuran dengan memilih pakatan  pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan yang bakal dibuat kali ini  bukan sahaja tentang UMNO dan Barisan  Nasional, tetapi kemuncak kepada semua itu  adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat  Malaysia keseluruhan.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita  terus mencipta kejayaan dan kemakmuran.

Kesimpulannya, UMNO kini sudah kembali berada  di trajectory dan landasan yang betul! Buktinya,  kebangkitan kita telah bermula dengan  kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu  Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau  dan Kerdau.

Yakinlah saudara dan saudari, percayalah  saudara saudari, inilah petanda-petanda  transformasi parti besar-besaran telah pun  bermula.

Lalu pada detik, saat dan ketika bersejarah ini, di  dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini,   mengambil seruan dan pengajaran dari firman  Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan  bersedia dengan segala kekuatan yang ada,  melengkapkan diri masing-masing!

Dan kita akan turun ke medan juang  sebagai satu saf yang padu, sebagai satu pasukan  yang kukuh, sebagai satu barisan yang kuat dan  jemala yang ampuh (tepukan).

Sejak berdekad-dekad lamanya, sejak  berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti  yang telah membela nasib dan maruah umat  Melayu!

Melorong denai kebangkitannya, menjadi  tiang seri kekuatan bangsa, sebagai jurangan  perisai penyelamat nusa.

Setelah mandat diberikan, setelah baiah  dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah  bersama saya, marilah bersama saya pada saat  dan detik ini pada saat dan detik ini, kita  tak punyai pilihan.

Insaflah… Insaflah saudara saudari,

Andainya UMNO tidak kita tatang, andainya UMNO  tidak kita bela, andainya UMNO kita biarkan,  andainya UMNO sudah tersungkur rebah dan  andainya UMNO lenyap, apakah masih terjunjung  Islam yang suci? Apakah masih terpandang mulia  orang-orang Melayu? Apakah masih disanjung  raja-raja kita?

Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau  kita masih bersengketa, kehinaan akan tiba di  muka pintu. Tunggulah kehancuran akan  terbangsatlah Melayu merempat di tanah sendiri!

Hindarilah khianat, pembelot dan adu domba. Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah  berupaya merobohkan lantai-lantai istana dan  meruntuhkan singgahsana.

Sekiranya perjalanan mulia ini dihalang seribu  rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya  perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita  pasti merempuh dengan penuh keberanian.

Leave a Reply