Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
' Nilai tindakan saya, bukan khabar angin ' - Najib Razak
News_archive

' Nilai tindakan saya, bukan khabar angin '

By Sunday March 29th, 2009 No Comments

DATUK Seri Najib Razak meminta semua pihak supaya menilai diri dan kepemimpinannya berdasarkan tindakan diambil, bukan terpengaruh dengan pelbagai khabar angin dan pertuduhan tidak berasas yang sengaja dilemparkan pihak pembangkang.

Bakal Perdana Menteri itu menyifatkan tanggapan seperti itu tidak adil kerana ketika ini beliau belum dilantik secara rasmi sebagai pemimpin nombor satu negara menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Insya-Allah saya boleh menghadapinya kerana semua pertuduhan itu tidak benar, hanya satu penipuan.

“Saya sudah beri kenyataan dan menjawab semua pertuduhan itu, saya tahu apa yang perlu dilakukan. Saya akan lakukan perubahan dan tahu rakyat mahu saya laksanakan perkara tertentu.

“Tolong nilai saya daripada tindakan saya. Saya belum pun mulakan tugas sebagai Perdana Menteri. Saya mohon dilayan dengan adil termasuk oleh media massa,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno ke-59 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Presiden Umno yang juga Menteri Kewangan itu turut menolak tanggapan bahawa pertuduhan terhadapnya akan menjejaskan proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Mengenai dakwaan penggantungan penerbitan dua akhbar pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan adalah petanda awal beliau menyekat ruang demokrasi, Najib mengulangi pendiriannya: “Kenapa saudara seolah-olah menghukum saya, ini sesuatu yang tidak adil kerana saudara menghukum saya sebelum saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri.”

Ditanya sama ada beliau memerlukan pilihan raya mengejut bagi mendapat mandat rakyat, Najib berkata: “Perkara ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, tetapi pada masa ini kita harus tumpukan kepada pembinaan semula parti dan agenda ekonomi negara.Ò€

Malah, beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan terlalu banyak politik dalam negara boleh menyebabkan agenda memperkasakan ekonomi dilupakan.

Najib juga menolak tanggapan bahawa keputusan pilihan raya kecil di tiga kawasan iaitu Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April ini adalah pungutan suara rakyat terhadap kepemimpinannya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply