News_archive

Nelayan Kuala Merlimau Teruja Dapat Jumpa Perdana Menteri

By Saturday February 19th, 2011 No Comments

JASIN, 19 Feb (Bernama) — Para nelayan sekitar Kuala Merlimau dekat sini, begitu teruja dapat bersua muka dan beramah mesra dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melakukan kunjungan mesra ke kampung mereka.

Mereka terkejut gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM5.5 juta bagi menaiktaraf jeti di Kuala Merlimau.

Dalam ucapannya, Najib berkata peruntukan tersebut juga bagi meningkatkan kemudahan lain seperti bangkel membaiki bot, gerai menjual ikan dan medan ikan bakar, serta mendalamkan muara sungai.

“Ini supaya mudah nelayan keluar masuk ke jeti Kuala Merlimau ini,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada begitu ramai nelayan yang hadir.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berkata kontraktor bagi melaksanakan projek itu sudah dilantik dan akan memulakan kerja sedikit masa lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang memburuk-burukan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Jeti Kuala Merlimau Pantai, Said Bakar berkata para nelayan amat terharu dapat bersua dan beramah mesra dengan Perdana Menteri.

Terdahulu Najib yang disertai Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melakukan “walkabout” di sekitar pekan Merlimau berhampiran.

A. Patricia, 38, seorang pekerja kilang berkata beliau sangat teruja berkesempatan bersalaman dan berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara.

“Saya sama kawan-kawan tunggu…mahu jumpa Perdana Menteri, dia sudah tolong banyak sama kita, masyarakat India antaranya buat sekolah baru jadi.

“Saya sama kawan-kawan tidak kisah tunggu berapa lama sekalipun, terima kasih kepada beliau kerana banyak tolong rakyat,” katanya.

Lim Wei Kiong, 76, seorang pesara kerajaan berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak menolong rakyat dan berharap kerajaan dapat meneruskan pertolongan itu pada masa akan datang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply