News_archive

Nelayan Ceria Terima Satu Demi Satu Bantuan Kerajaan

By Sunday February 5th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Menikmati sendiri satu demi satu bantuan yang diberikan secara langsung oleh kerajaan, nelayan Zakaria Abdul, 52, tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran.

Tersenyum memanjang ketika menerima bantuan terbaru sebuah bot fiber sepanjang 19 kaki di Kuantan, Pahang baru-baru ini, beliau juga menitiskan air mata kerana bantuan yang diberikan kepada masyarakat nelayan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah pilih kasih.

“Saya menangis ni kerana gembira. Juga kerana sayu apabila rakan yang tak percaya kepada kerajaan pun dapat bantuan bot ni. Saya takut kalau kita tak tahu berterima kasih,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Beliau gembira kerana untuk membeli sebuah bot fiber baru bersaiz itu, memerlukan modal yang agak besar iaitu kira-kira RM3,600 sedangkan pendapatan hariannya tidak mungkin dapat dikumpul sebanyak itu kerana habis digunakan untuk perbelanjaan harian sahaja.

“Pakcik takkan lupa jasa kerajaan. Ini baru satu, belum lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan katanya dalam Bajet 2012 ada tabung khas untuk baiki rumah nelayan yang kita boleh mohon. Inilah kerajaan yang prihatin, bukan yang tahu cakap saja,” katanya.

Sebelum ini, hidup Zakaria yang masih bujang ibarat kais pagi makan pagi kerana terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bot uzur yang dimilikinya sejak 30 tahun dahulu untuk mencari rezeki.

Keadaan bot yang usang yang membahayakan nyawa telah membataskan aktivitinya untuk mencari rezeki lebih dengan menangkap ikan di pesisir pantai.

“Itu yang susahnya apabila ada bot tapi dah uzur. Nak cari duit lebih sikit pun susah kerana kalau bot bocor, memang tak boleh ke laut. Nak tumpang kawan pun, hanya sekadar ambil upah saja… berapa sangatlah yang boleh dapat,” katanya.

Zakaria dari Kampung Sri Cempaka, Pantai Sepat berkata pendapatannya pada masa ini tidak menentu sekitar RM40 dan jarang-jarang RM100 sehari bergantung kepada faktor cuaca.

“Hasrat nak beli bot memang ada, tetapi terlalu mahal. Duit yang dapat sehari-sehari ini habis digunakan untuk beli barang keperluan di rumah. Jadi bila masa pakcik nak kumpul duit beli bot baru. Tetapi syukur kini pakcik mendapat bantuan bot daripada kerajaan,” katanya.

Zakaria adalah antara kira-kira 3,000 nelayan daripada seluruh negara yang menerima pelbagai bantuan seperti bot fiber sepanjang 19 kaki, enjin sangkut 30 kuasa kuda (30hp), alat pengesan koordinat kawasan (GPS), pukat kaya, jaket keselamatan dan kawat bubu.

Bantuan itu disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Pelancaran Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Tanjung Lumpur, Kuantan baru-baru ini yang antara lain bertujuan untuk membantu meringankan bebanan kewangan golongan nelayan.

Turut berkongsi kegembiraan yang sama ialah Jasmi Omar, 49, dari Cherating, Pahang yang menyifatkan bantuan tersebut menyemarakkan lagi semangatnya untuk berusaha gigih menambah pendapatannya di samudera.

“Saya rasa syukur tak terhingga dan terima kasih kerajaan. Saya tak tahu bahawa saya juga layak terima bantuan dan hanya tahu dua hari sebelum majlis penyampaian bantuan. Memang saya tidak tahu nak kata apa-apa. Suka sangat.

“Saya berazam bila dapat bot baru ini, saya akan tingkatkan hasil tangkapan saya demi keluarga. Dengan ada bot baru ini, sedap sikit saya nak buat kerja,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Mohd Saifuddin Abdullah, 31, dari Kampung Tanjung Lumpur pula tidak menyangka beliau bertuah kerana dipilih menerima bantuan sebuah enjin sangkut 30 kuasa kuda daripada kerajaan.

“Saya sudah lebih dua bulan tidak turun ke laut menggunakan bot sendiri. Enjin bot saya rosak yang menyebabkan saya susah hati dan setakat ini saya hanya membantu kawan menangkap ikan dan hanya mengambil upah sahaja.

“Tetapi hari ini menjadi hari yang penuh sejarah buat saya dan keluarga apabila saya dipilih menerima enjin bot. Memang saya gembira sangat-sangat dan terima kasih kerajaan Barisan Nasional. Kalau nak beli memang takkan mampu kecuali enjin bot terpakai,” katanya sambil menambah harga pasaran enjin yang diberikan padanya ialah RM8,000.

Bagi pasangan Zaidi Abidin, 37, dan isteri Zaiton Zahari, 33, pula bantuan pukat kaya yang diterimanya sebagai permulaan yang baik bagi tahun ini.

“Syukur kerana kerajaan sangat prihatin dengan nasib golongan nelayan. Bantuan ini memberi sinar baru dalam kehidupan kami sekeluarga,” kata Zaidi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pahang (Penepa) Zulkiflee Md Yusof pula menyifatkan bantuan yang dihulurkan kepada golongan nelayan membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan tidak pernah meminggirkan golongan itu.

“Tentulah menjadi harapan Perdana Menteri dengan bantuan sebegini akan membolehkan golongan nelayan berdikari dan sekaligus berjaya meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Program Ihsan Samudera adalah satu daripada program di bawah Gagasan 1Malaysia dan program ini dilaksanakan dengan memberi fokus kepada masyarakat nelayan dengan pendekatan ‘turun padang’ demi mendekati kumpulan sasaran.

Objektif program ini adalah bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat nelayan dan mengurangkan bebanan kewangan mereka untuk mendapatkan gantian peralatan menangkap ikan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply