News_archive

Negeri Sembilan Kenal Pasti Kawasan Bandar Baru Sendayan Bagi Projek PR1MA

By Tuesday July 5th, 2011 No Comments

SEREMBAN, 5 Julai (Bernama) — Kerajaan Negeri Sembilan telah mengenal pasti dua ke tiga tempat di kawasan Bandar Baru Sendayan bagi membangunkan projek Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan menubuhkan ‘Sekretariat’ bagi golongan muda mendaftarkan diri sebagai pemilik dan begitu juga dengan pemaju-pemaju perumahan yang berminat dalam projek berkenaan.

“Sekretariat yang dilantik ini akan berfungsi sebagai data bank yang akan menyimpan segala maklumat PR1MA yang ada di dalam usaha ini,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan penubuhan PR1MA bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek di bawah program tersebut di seluruh negara.

Perbadanan khas yang akan diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri itu juga akan membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.

Mohamad berpendapat dengan perlaksanaan projek PR1MA ini, ia akan memberi keselesaan kepada masyarakat yang mempunyai purata pendapatan pertengahan.

Katanya golongan ini selalunya mempunyai masalah untuk membeli rumah kos rendah dan tidak pula mampu untuk memiliki rumah yang begitu mahal.

“Usaha yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri adalah memberi peluang kepada remaja dan belia terutamanya memiliki rumah pertama mereka dengan berteraskan konsep mampu milik.

“Saya juga telah mengenal pasti dua ke tiga tempat di kawasan Bandar Baru Sendayan bagi membangunkan projek perumahan PR1MA ini kelak,” katanya.

Menteri Besar yakin dan percaya masalah bagi golongan muda khususnya di Negeri Sembilan untuk memiliki rumah sederhana dapat ditangani dengan baik.

Bagi mendokong hasrat Perdana Menteri, Mohamad berkata kerajaan negeri bersedia memberikan harga minimum kepada generasi muda yang ingin memiliki rumah dan harga ini akan dapat diputuskan setelah berbincang dengan pemaju perumahan nanti.

Sumber : Bernama

Leave a Reply