News_archive

Negeri pembangkang tidak dipinggir – Najib

By Sunday September 11th, 2011 No Comments

BUKIT MERTAJAM 11 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited untuk memastikan proses pembangunan negara dilakukan secara adil dan saksama, tanpa meminggirkan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, komitmen itu adalah selaras dengan prinsip kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menghormati suara rakyat dan tidak akan meminggirkan mana-mana negeri atas faktor perbezaan politik.

Sehubungan itu, beliau mengulangi komitmen untuk memastikan rakyat Pulau Pinang yang kini diterajui pembangkang terus mengecapi kemajuan dan kemakmuran ekonomi.

”Kita mungkin mempunyai perbezaan politik tetapi dari segi kepentingan rakyat Pulau Pinang, kita akan teruskan (pembangunan) tanpa dipengaruhi fahaman politik.

”Lapangan terbang sedang kita bangunkan, Jambatan Kedua Pulau Pinang juga sedang kita bina dan pembinaan Empangan Mengkuang juga insya-Allah akan menjadi kenyataan. Semua ini hasil usaha kerajaan Pusat dan kita akan teruskan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta barisan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Najib berkata, banyak kejayaan yang dikecapi di Pulau Pinang adalah hasil usaha kerajaan Pusat yang sentiasa mahu memastikan ekonomi negeri itu terus berkembang.

”Kita mahu kemajuan ini dilaksanakan secara adil, di mana kerajaan negeri boleh sokong, maka kerajaan Pusat akan hargai. Inilah komitmen kita untuk sentiasa mendengar suara rakyat,” jelasnya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply