News_archive

Negara Perlu Guru Berdaya Kreatif – Najib

By Sabtu Julai 9th, 2011 No Comments

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara memerlukan warga pendidik yang memiliki daya kreativiti selain komitmen dan dedikasi terhadap profesion perguruan.

Dalam era globalisasi ini, katanya, golongan guru perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas agar anak murid mereka tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran.

Berucap merasmikan Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 (KOGUM) di sini Jumaat malam, Najib menegaskan sekiranya guru ingin mengajar kemahiran berfikir maka mereka juga mesti tahu cara berfikir.

“Kita tidak mahu anak-anak kita menghafal atau rote learning,” katanya.

Najib berkata negara mahukan murid-murid di negara ini boleh berfikir secara kreatif dan boleh membuat rumusan menerusi pemikiran lebih daripada penghafalan.

Beliau berkata guru-guru juga perlu mempunyai kebolehan pelbagai kemahiran misalnya guru subjek Kesusasteraan Inggeris juga memerlukan kemahiran penguasaan bahasa Malaysia untuk memberi pengajaran yang lebih berkesan.

Katanya warga guru juga perlu mempunyai komitmen di dalam menjalankan amanah mereka terutamanya dalam mengotakan janji untuk sanggup berkhidmat di kawasan pedalaman.

Beliau mengimbas kembali karenah guru yang tidak sanggup berkhidmat dalam tempoh masa yang lama di kawasan pedalaman semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran satu ketika dahulu.

Katanya sebenarnya Malaysia bukan kekurangan guru tetapi terdapat ketidakseimbangan di mana lebih ramai guru di bandar daripada di luar bandar.

Oleh itu beliau berkata jika para guru ada semangat perjuangan, mereka akan sanggup berkorban. Najib berkata jasa guru kepada negara adalah hebat selain daripada mempelopori perjuangan kemerdekaan, mereka juga meniti kemerdekaan dan sebagai agen mobiliti sosial.

Menerusi pendidikan, Malaysia berjaya membebaskan sesebuah keluarga daripada kemiskinan dalam peringkat satu generasi sahaja dan perkara ini agak sukar disaksikan di negara membangun mahupun di negara maju seperti United Kingdom.

Pada majlis itu, Najib melancarkan KOGUM 2011, Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia, dan portal pendidikan SKOR Ai-Teacher.

Sumber : Bernama

Leave a Reply