Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Negara Asia Barat minat labur - Najib Razak
News_archive

Negara Asia Barat minat labur

By Wednesday September 28th, 2011 No Comments

STRATEGI kerajaan dalam memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dari Asia Barat membuahkan hasil apabila banyak syarikat dari rantau itu sudah menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kini wujud minat mendalam daripada pelabur Asia Barat untuk meningkatkan pelaburan masing-masing di Malaysia ekoran prospek ekonomi negara yang menarik pada masa depan.
Najib berkata, ramai pelabur rantau itu melahirkan minat untuk melabur di Malaysia terutama di daerah kewangan Kuala Lumpur dan projek pembangunan Sungai Besi.
Kini saya mendapat pertanyaan daripada ramai pelabur Asia Barat untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia terutama di Kuala Lumpur. Mereka memang berminat dan bersedia untuk melabur di negara ini, katanya pada sesi soal jawab di Khazanah MegaTrends Forum 2011 di Kuala Lumpur semalam.

Najib menjelaskan hubungan erat sebagai negara Islam juga mendorong pelabur dari Asia Barat memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka di rantau Asia.

Katanya, sejak beliau memegang tampuk pemerintahan negara pada 2009, usaha strategik dibuat bagi menarik pelaburan khususnya daripada negara yang mempunyai lebihan modal bagi merangsang pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Pelabur rantau itu, katanya, amat yakin dengan prospek ekonomi negara ini dan berasa selamat untuk meningkatkan pelaburan mereka di sini.
Mengenai pembangunan usahawan Bumiputera, Najib menjelaskan kerajaan kini akan memberi fokus dalam membangunkan usahawan yang layak dan mempunyai daya saing yang tinggi.

Beliau berkata, pemilihan syarikat Bumiputera yang layak itu akan dilakukan berasaskan kepada meritokrasi.

Kami akan memberi bantuan kepada usahawan Bumiputera yang bagus, berbakat dan berdedikasi kerana jika mereka berjaya ia adalah hasil usaha mereka sendiri, katanya.

Sementara itu, di dalam ucapan penutupan forum, Najib berkata, agenda transformasi kerajaan bermatlamat untuk memupuk daya ketahanan dan penyesuaian negara ini dari kejutan luar jangkaan dan bukan untuk menyekat negara ini dari mengalami perubahan.

Beliau berkata, fenomena ketidaktentuan itu menjuruskan kepada sesuatu yang kebiasaan yang meletakkan ekonomi terdedah kepada kejutan itu, tetapi jika ekonomi dilihat sebagai satu sistem, hanya ekonomi yang stabil dan berdaya tahan akan mampu mengharunginya.

Bagi membina dan mewujudkan satu sistem yang berdaya tahan dan mempunyai keanjalan dan ketangkasan, kerajaan perlu mengenepikan kekangan di dalam sistem dan pada masa yang sama membina kapasiti dan keupayaan mereka yang mengendalikannya, katanya.

Najib juga menyeru pemimpin perniagaan dan politik supaya menyedari ketidaktentuan yang mereka hadapi kerana sejarah menunjukkan bahawa pasaran utama juga boleh gagal dengan teruk, sehinggakan memerlukan kerajaan masuk campur dan menyediakan kepimpinan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply