News_archive

Najib Yakin Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Capai Sasaran Enam Peratus Tahun Ini

By Saturday March 19th, 2011 No Comments

KUCHING, 19 Mac (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan keyakinan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran enam peratus tahun ini.

“Kita akan mendapat enam peratus (pertumbuhan ekonomi)(dan kita sedang) berusaha sebaik mungkin. Setiap minggu, majlis ekonomi akan bertemu (bagi membincangkan isu ini)” selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan (menarik) pelaburan,” katanya semasa sesi “Mari Berjumpa Berhubung” dengan rakan-rakan Facebook tempatan di sini.

Pertemuan ini merupakan program kali pertama Najib bertemu peminat Facebook nya di luar Putrajaya. Dua sesi pertama diadakan di Putrajaya pada Mac tahun lepas dan Februari tahun ini.

Najib berkata kerajaan juga mewujudkan lebih banyak peluang kerja bagi peringkat pertengahan dan tinggi bagi memastikan matlamat kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dapat dicapai menjelang 2020.

Beliau juga berkata Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat untuk meningkatkan Pendapatan Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM660 bilion pada 2009, sehingga hampir kepada RM1.7 trilion pada 2020, bukan satu igauan.

“Malah pelbagai usaha sedang dijalankan bagi mewujudkan momentum yang kuat bagi pertumbuhan ekonomi dalam negara,” katanya.

Bagi Sarawak dan Sabah, beliau berkata peruntukan besar di bawah Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara telah diperuntukkan bagi pelbagai projek infrastruktur di kedua buah negeri itu terutama dalam memastikan projek pembangunan jalan, bekalan air dan elektrik sampai ke kawasan luar bandar dan rakyat miskin.

Najib berkata kerajaan Persekutuan sedang berusaha mewujudkan pembangunan yang seimbang antara Sarawak dan Semenanjung, malah sejak dua tahun lepas pelbagai projek pembangunan di luar bandar di negeri ini telah rancak dijalankan.

Bagaimanapun, pembangunan di negeri yang terbesar di negara ini mengambil masa kerana saiznya yang besar, jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung yang lebih kecil.

Contohnya, projek pembinaan jalan sepanjang 60km di Sarawak hanya meliputi kawasan yang kecil di negeri ini, tetapi jika projek itu diadakan di Perlis, ia sudah meliputi satu negeri, katanya.

Menjawab satu soalan mengenai usaha kerajaan membawa balik golongan profesional Malaysia yang berkemahiran tinggi dari seberang laut, beliau berkata kerajaan bukan hanya melibatkan rakyat Malaysia di seberang laut tetapi juga memastikan golongan profesional berkemahiran tinggi tempatan kekal dalam negara.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi juga memastikan pekerjaan itu memberi tawaran yang menarik tetapi para pekerja juga perlu meningkatkan produktiviti.

Najib berkata peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan gaji yang menarik merupakan kunci utama untuk mengekalkan bakat dan kemahiran pekerja dan asas bagi memastikan matlamat ETP tercapai.

Mengenai satu permintaan dari seorang kakitangan kontrak kerajaan bernama Maria yang telah bekerja selama enam tahun dan mahukan kerajaan meneliti keputusan menamatkan kontrak mereka pada 31 Mac ini, Najib berkata beliau akan berbincang perkara itu dengan pihak berkuasa berkaitan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply