News_archive

Najib Yakin MHB Boleh Capai Pelan Korporat

By Thursday November 25th, 2010 No Comments

PASIR GUDANG, 25 Nov (Bernama) — Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) telah menetapkan pencapaian indeks penunjuk prestasi kadar keuntungan sebanyak RM1 bilion dalam masa lima tahun, berbanding RM280 juta pada masa ini.

Syarikat itu turut merancang untuk meningkatkan pendapatannya daripada RM6 bilion kepada RM10 bilion dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pelan korporat syarikat kejuruteraan dan marin dengan tumpuan kepada minyak dan gas itu sebagai sebagai “suatu yang sukar tetapi boleh dicapai”.

“Bidang minyak dan gas ini merupakan sebahagian daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan dengan insentif dan dorongan daripada kerajaan bidang ini akan dapat maju dengan lebih ketara lagi,” kata Najib yang menyatakan keyakinannya terhadap pelan korporat itu.

Beliau berkata demikian pada majlis bersama warga kerja MHB di limbungan kering anak syarikat itu, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) di sini Khamis.

Terdahulu, Najib menghadiri taklimat tertutup mengenai MMHE sebelum melawat sekitar limbungan tersebut.

Beliau menyatakan rasa bangganya kerana MHB kini bukan hanya mampu meningkat maju di negara ini bahkan mempertahankan kekuatannya ini rantau ini.

Beliau berkata, MHB harus mengenal pasti produk baru dan meningkatkan kehadirannya di peringkat antarabangsa sebagaimana pembukaan Limbungan Kiyanly, di Turkmenistan semenjak menjadi kontraktor kepada Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd pada 2004.

Najib turut mengingatkan warga kerja MHB bahawa kejayaan syarikat itu tidak bergantung kepada pengurusan syarikat atau kerajaan semata-mata.

Ia turut bergantung kepada dedikasi dan keazaman warga kerja termasuk pihak kontraktor di dalam mencapai visi dan misi untuk memajukan bidang minyak dan gas yang merupakan satu sektor penting kepada negara ini, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply