News_archive

Najib Yakin Harimau Malaya Mampu Mengatasi Singapura

By Wednesday July 27th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pasukan bola sepak Malaysia, Harimau Malaya mampu menumpaskan pasukan Singapura walaupun terpaksa mengatasi defisit dua gol.

Beliau yang akan menyaksikan perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia itu bersama-sama lebih 10,000 rakyat Kedah sempena lawatannya ke negeri itu Khamis, berkata mereka mesti mempunyai kepercayaan pada diri sendiri dan taktik yang telah ditentukan oleh jurulatih Datuk K Rajagobal.

“Jika bermain dengan penuh disiplin dan semangat dan keyakinan diri, saya percaya mereka boleh mengatasi pasukan Singapura.

“Sebab mereka ada kebolehan dan ada bakat untuk berjaya meskipun mereka terpaksa mengatasi defisit sebanyak dua gol tetapi kita yakin mereka mampu untuk berbuat demikian dengan syarat mereka bermain sebagai satu pasukan dan tidak ada kelemahan di mana-mana posisi sekalipun,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perlawanan timbal balik kedua pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis malam.

Pada Sabtu lalu, Malaysia kalah 5-3 kepada Singapura pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2014.

Sebelum itu, ketika mempengerusikan majlis dialog pertama 1Malaysia Online Roundtable bersama tokoh dan personaliti yang terlibat dalam bidang masing-masing di pejabat Perdana Menteri di sini, Najib telah menyatakan sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Rajagobal dalam perbualan telefonnya dengan jurulatih itu.

Katanya beliau juga menyatakan kepada Rajagobal bahawa kerajaan dan rakyat mengharapkan persembahan yang terbaik dengan penuh bersemangat daripada pasukan Malaysia.

“Saya percaya mereka mempunyai peluang untuk menutup defisit dua gol di Stadium Bukit Jalil dengan persekitaran dan semangat yang berkobar dari kalangan penonton, dan percaya penonton boleh memberi kelebihan kepada pasukan kita,” katanya.

Rajagobal yang merupakan antara tokoh dan pakar dalam bidangnya yang menjadi anggota 1Malaysia Online Roundtable tidak hadir pada majlis dialog itu kerana sedang mempersiapkan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan.

Najib berkata bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Malaysia, pihaknya memutuskan untuk memasang skrin besar di Dewan Wawasan, Kubang Pasu, ketika beliau menghadiri program jamuan bersama rakyat, bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

“Seluruh negara memberikan sokongan padu kepada pasukan kita, dan saya akan menyaksikan perlawanan ini di Kedah. Saya tidak boleh ubah program saya. Saya akan bersama-sama 10,000 rakyat di Kedah dan pihak kami memutuskan untuk memasang skrin besar untuk menyaksikan perlawanan itu. Ini untuk menunjukkan sokongan padu kami kepada pasukan negara,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply