News_archive

Najib Yakin BN Berpeluang Rampas Kembali Kelantan Pada PRU Ke-13

By Monday January 23rd, 2012 No Comments

KOTA BAHARU, 24 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini.

Katanya Perdana Menteri menyatakan walaupun pertandingan antara BN dan PAS amat sengit, Kelantan merupakan ‘winnable state’ bagi BN pada pilihan raya umum itu.

“Apabila keyakinan itu keluar daripada mulut Perdana Menteri sendiri, ia menjadi suntikan semangat kepada kita untuk bekerja kuat,” katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai kemenangan tersebut, Awang Adek berkata Perdana Menteri mahu anggota dan pemimpin semua parti komponen BN bekerja kuat, termasuk menggerakkan lebih banyak program mendekati rakyat.

“Perdana Menteri mengingatkan kita supaya berjumpa dengan seberapa banyak kumpulan masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, nelayan, petani, guru, bloggers dan golongan profesional, bagi mengenal pasti masalah mereka dan cuba bantu menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga mahukan Umno dan parti komponen BN yang lain, mendampingi ‘pengundi atas pagar’ yang terdiri daripada mereka yang berpendirian bebas.

Sempena lawatan tersebut, Perdana Menteri turut menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply