News_archive

Najib Warisi Semangat Kepimpinan Bapanya, Kata Bekas Pegawai

By Tuesday April 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Sikap perdana menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat jelas ada pada diri anak sulung allahyarham, Datuk Seri Najib, perdana menteri Malaysia keenam.

Bekas pegawai pengiring kepada Abdul Razak, Datuk Mohd Nordin Idris berkata sikap yang diwarisi itu jelas apabila Najib membuat lawatan mengejut ke kawasan Brickfields, Petaling Street dan Kerinchi sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bercakap pada forum Tun Abdul Razak di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan di sini, Selasa, beliau berkata, Abdul Razak adalah seorang pemimpin yang begitu komited dengan kerjanya membangunkan bangsanya tanpa mengira siang dan malam.

“Beliau (Abdul Razak) bekerja sepanjang masa, dari pagi hingga ke malam, tidur pun apabila sudah lewat pagi.

“Bila lapang, beliau sanggup meredah segala pelusuk kampung untuk melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat dan membuat rancangan untuk memperbaiki keadaan dan taraf hidup mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah yang digunakan Perdana Menteri kedua dalam membesarkan anak-anaknya, beliau berkata isteri allahyarham, Tun Rahah Mohd Noah pernah berkata bahawa tiada formula khusus yang diamalkan dalam membesarkan anak-anaknya.

Namun begitu, Mohd Nordin percaya peranan ibu penting dalam menentukan kejayaan anak-anak dalam hidup.

“Tun Rahah tidak pernah mencampuri hal politik negara, sebaliknya telah menggunakan masa beliau sepenuhnya untuk memberi didikan dan sokongan kepada anak-anaknya.

“Saya percaya anak sesiapa saja boleh berjaya, tak kiralah pangkat ibu bapanya itu, sekiranya ibu mereka memberi tumpuan khusus dalam membesarkan anak-anak,” katanya.

Katanya selain itu allahyarham dan isterinya merupakan ibu bapa yang lembut dan penyayang dan memberi penekanan terhadap pendidikan agama kepada anak-anak mereka.

Sementara itu bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin ketika mengimbau kembali zaman Abdul Razak berkata, Allahyarham mempunyai aura tersendiri dan wajah yang memaparkan kesungguhannya sebagai seorang pemimpin.

“Abdul Razak adalah seorang pemimpin yang tahu banyak perkara dan tahu apa yang ditanya…beliau membina aura tersendiri menyebabkan kita menghormati beliau sebagai seorang pemimpin.

“Ini boleh dilihat cara bagaimana beliau mengatasi masalah peristiwa 13 Mei dan juga melalui dasar-dasar ekonomi beliau pada ketika itu,” katanya

Zainuddin ialah juga bekas ketua pengarang Utusan Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply