Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib undang Lee ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 - Najib Razak
News_archive

Najib undang Lee ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

JEJU, Korea Selatan 2 Jun – Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dipelawa melakukan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelawaan itu disampaikannya bagi pihak kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan dua hala di sini hari ini.

“Lawatan itu kelak akan menjadi acara kemuncak kepada segala program sambutan ulangtahun tersebut pada 2010.

“Oleh itu, kedua-dua negara melalui Menteri Luar masing-masing sedang memikirkan apakah jenis program yang boleh dilaksanakan untuk mencerminkan hubungan yang baik antara kedua-dua negara,” katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas ke Beijing untuk lawatan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri ke luar negara.

Mengulas pertemuan dua hala dengan Myung-bak, Najib berkata, Presiden Korea Selatan itu berpuas hati dengan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti usahasama antara Petronas dengan syarikat minyak Korea untuk membangunkan kawasan-kawasan di luar iaitu di negara ketiga.

“Ini menurut Presiden Lee merupakan model baru di mana kawasan negara ketiga dieksploitasi bersama oleh Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Presiden Korea Selatan itu juga, menurut beliau, sedar hubungan antara rakyat Malaysia dengan republik itu semakin meningkat berdasarkan pertambahan jumlah pelancongnya yang melawat Malaysia selain peningkatan bilangan pelajar Malaysia yang menuntut di negara itu.

Korea Selatan juga, menurut beliau, mempelawa Malaysia untuk menyertai Ekspo Global pada 2012.

Mengulas Perjanjian Pelaburan yang ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan rakan sejawat ASEAN yang lain hari ini, Najib berkata, ia adalah pelengkap kepada perjanjian perdagangan bebasb (FTA) ASEAN dengan Korea Selatan.

“Saya percaya (perjanjian ini) akan menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply