News_archive

Najib Umum Peruntukan RM30 Juta Bina Pejabat Ipd Baru Sipitang

By Thursday June 30th, 2011 No Comments

SIPITANG, 30 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang yang baru.

Pengumunan Najib itu yang dibuat ketika beliau berucap merasmikan Karnival Gasing dan Tamu Besar Sipitang di sini hari ini, disambut gembira dan tepukan gemuruh ribuan hadirin di Padang Pekan Sipitang.

Skop pembinaan IPD berkenaan merangkumi pembinaan sebuah bangunan pentadbiran dan sebuah bangunan balai polis, lokap, dewan serbaguna, stor barang kes, bengkel pengangkutan dan garaj.

Komponen lain dalam projek tersebut termasuk pondok pengawal, stor peluru, stesen pencawang, pusat pengumpulan sampah dan surau.

Proses mereka bentuk bangunan IPD berkenaan dijangka siap pada Oktober tahun ini dan tender mungkin dikeluarkan pada November. Pembinaan dijangka bermula pada April 2012 dan projek djangka siap pada Disember 2013.

Sebelum itu, Najib melawat IPD Sipitang yang kemudian dianggapnya sebagai sudah terlalu uzur.

Pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta untuk membina bumbung Esplanade Sipitang, khususnya kawasan gerai sate dan makanan yang lebih kukuh dan tidak mudah diterbangkan angin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sumber : Bernama

Leave a Reply