Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Umum Peruntukan Rm211.6 Juta Bagi Memartabatkan Agenda Islam Di Wilayah Persekutuan - Najib Razak
News_archive

Najib Umum Peruntukan Rm211.6 Juta Bagi Memartabatkan Agenda Islam Di Wilayah Persekutuan

By Friday April 6th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat mengumumkan peruntukan RM211.6 juta untuk terus memperkasa dan memartabatkan agenda Islam di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM157 juta akan diperuntukkan bagi pembinaan masjid, surau Jumaat, surau dan sekolah rendah agama yang baru bagi memenuhi keperluan seluruh masyarakat Islam di tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain itu, beliau berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan masjid, surau dan sekolah rendah agama.

“Semoga dengan peruntukan itu warga Islam di Wilayah Persekutuan dapat menjalankan ibadah dengan lebih berkualiti dan memiliki kehidupan lebih baik,” katanya pada Perhimpunan Perdana Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Untuk memastikan bidang pendidikan agama terus dipertingkatkan, Najib berkata peruntukan sebanyak RM3.78 juta akan disalurkan sebagai bayaran elaun guru KAFA dan guru sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Bagi membela golongan asnaf mualaf, Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM19.8 juta bagi pembinaan Kompleks Darul Hidayah manakala bagi tuntutan fardu kifayah, sebanyak RM5.23 juta akan disediakan untuk tujuan pembaikan tanah perkuburan Islam (Raudhatul Sakinah) di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM2.07 juta diperuntukkan untuk tujuan pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau sebagai ‘jantung masyarakat’ di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Bagi menghargai komitmen pentadbir masjid dan surau, sebanyak RM1.88 juta diberikan sebagai bayaran imbuhan imam ratib, pembantu bilal dan pembantu noja masjid dan surah Jumaat pada tahun ini,” katanya.

Untuk memastikan kawasan masjid dan surau sentiasa ceria, Najib berkata bantuan kebersihan dan keceriaan sebanyak RM1.06 juta akan diberikan kepada masjid, surau Jumaat dan surau.

“Bagi menghargai jasa dan sumbangan AJK masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, kerajaan memperuntukkan RM821,100 sebagai bayaran saguhati kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata peruntukan tersebut merupakan ‘persiapan’ agar pembangunan agama di negara ini tidak ketinggalan apabila Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk pembinaan sembilan buah masjid yang baru akan dibina, surau (lima) dan sekolah rendah agama (lapan).

“Kita tidak mahu prasarana seperti bangunan surau, masjid dan sekolah agama ketinggalan jauh di belakang apabila negara kita mencapai status negara maju. Kita mahu ia seiring dengan pembangunan negara dan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan dapat menikmati kemudahan-kemudahan ini.

“Gabungan daripada sokongan kerajaan dan juga dana yang dimiliki Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kerajaan akan menyumbang kepada pembangunan agama di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita.

Kini, terdapat 441 buah surau, 83 buah surau Jumaat dan 70 buah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply