News_archive

Najib Umum Dana Pemudahan RM200 Juta Untuk Projek Danga Waterfront

By Sunday February 12th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 12 Feb (Bernama) — Projek Pembangunan Pinggir Air Danga (Danga Waterfront) telah mendapat perhatian kerajaan apabila kabinet bersetuju menyediakan dana pemudahan sebanyak RM200 juta untuk projek berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan untuk menyediakan dana itu, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan ke atas projek itu.

“Bandar Pinggir Air Bersepadu Iskandar di mana Danga Bay adalah tumpuannya, ialah antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia, dan pastinya di Johor,” kata beliau di majlis ulang tahun ke-15 Danga Bay dan pelancaran Yayasan Danga di sini yang dihadiri oleh Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Perdana Menteri berkata akses yang mudah melalui udara, laut dan jalan raya ke projek itu dan kedudukannya yang unik di hujung Semenanjung dan bersempadan Singapura, merupakan kelebihan penting sebagai destinasi gaya hidup, serta dapat menarik perhatian para pelabur.

Projek Danga Waterfront itu yang merentasi sepanjang 25km dari bahagian timur ke bahagian barat Tambak Johor, akan menyaksikan perubahan wajah yang lengkap Johor baharu dan keseluruhan tapak berhadapan laut yang menghadap Singapura.

Pembangunan itu, yang akan dilancarkan beberapa fasa dalam tempoh 25 tahun dengan nilai pembangunan kasar RM80 bilion, adalah kerjasama awam-swasta yang melibatkan kerajaan dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH).

Najib berkata usaha menggalakkan terhadap pembangunan semula bandar adalah seiring dengan pendekatan pembangunan koridor oleh kerajaan persekutuan untuk menghidupkan semula bandar-bandar lama dengan gaya hidup yang lebih baharu.

“Dalam kes pembangunan Iskandar Waterfront City ini, saya gembira yang ciri-ciri baharu yang menarik telah dirancang untuk bandaraya ini seperti terminal kapal pelayaran, marina, dermaga nelayan serta blok menara untuk menempatkan pejabat kewangan dan komersil,” kata beliau.

Menurut perdana menteri, potensi sebenar Danga Bay kini hampir direalisasikan dengan pengumuman pelan induk pembangunan Iskandar Waterfront City ini. “Saiz dan skop projek ini bukan sahaja besar tetapi mengagumkan.

“Apabila siap, ia akan membantu menyerlahkan Johor Baharu sebagai antara bandar raya pinggir air yang paling berwawasan dan moden, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau ini,” kata beliau.

IWH, pemacu pembangunan ini, akan mendapat sokongan daripada kerajaan persekutuan dan negeri Johor bagi menerajui inisiatif menjadikan Johor Baharu sebuah destinasi perniagaan, komersil dan pelancongan bertaraf dunia.

Beliau berkata projek pemangkin seperti projek pembangunan Danga Waterfront akan membantu membentuk transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi baharu seperti mana yang dibayangkan oleh kerajaan.

Perdana menteri turut mengumumkan yang Datuk Lim Kang Hoo sebagai pengarah urusan IWH telah menyumbangkan RM50 juta untuk Yayasan Danga bagi melaksanakan projek-projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata kerajaan juga telah memperuntukkan dana pemudahan RM200 juta untuk projek pembersihan Sungai Segget di bandar Johor Baharu.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofia, Tunku Mahkota Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Tunku Idris ibni Sultan Ibrahim dan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sumber : Bernama

Leave a Reply