News_archive

Najib Umum Bantuan RM5,000 Hingga RM10,000 Baiki Rumah Nelayan

By Saturday January 21st, 2012 No Comments

KUANTAN, 21 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan antara RM5,000 dan RM10,000 untuk membaik pulih rumah kaum nelayan dalam usaha membela nasib golongan itu di seluruh negara.

Sambil menegaskan nasib golongan itu akan terus dibela di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Najib berkata beliau difahamkam bahawa borang permohonan untuk inisiatif yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi itu sedang diedarkan melalui persatuan-persatuan nelayan.

“Nak buat rumah baharu boleh, tapi saya dengar khabar nelayan ni tak boleh tidur kalau tak dengar bunyi ombak, mesti tepi laut, nak pindah(kan ke kawasan lain) susah.

“Jadi, sebahagian daripada RM300 juta kita akan guna untuk menambah baik rumah-rumah nelayan di seluruh negara,” kata Najib ketika melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan bertujuan membantu golongan nelayan, di Tanjung Lumpur di sini.

Perdana Menteri merujuk kepada Tabung Khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta yang diumumkan beliau ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, Oktober lepas.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 orang terutamanya warga nelayan, Najib menyampaikan pelbagai bantuan berjumlah RM1.5 juta kepada persatuan nelayan di tiga kawasan iaitu Kuantan, Rompin dan Pekan.

Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam ucapannya, Najib berkata kerajaan hari ini benar-benar menjiwai untung nasib semua lapisan rakyat dan sanggup berjuang untuk kepentingan mereka bagi melihat perubahan besar dalam kehidupan mereka dan generasi seterusnya.

Menurut beliau, Gagasan 1Malaysia yang dilancarkan kerajaan bukan semata-mata slogan atau retorik politik tetapi sesuatu yang diterjemahkan melalui dasar dan program yang menepati falsafah di sebaliknya.

Beliau menggariskan keadilan sosial serta keperluan berlaku adil dan “inclusive” (keterangkuman) sebagai prinsip yang disandarkan dalam melaksanakan gagasan itu.

“Kita beri bantuan ikut apa yang adil mengikut keperluan mereka. Inclusive bermakna tidak ada mana-mana golongan yang terpinggir melalui usaha kerajaan.

“Melalui program ini, kerajaan buktikan ia bukan kata-kata kosong, bukan sedapkan hati orang, tapi kita zahirkan melalui satu program yang boleh ubah untung nasib golongan yang memerlukan,” katanya.

Ini termasuk bot sepanjang 19 kaki kepada 60 nelayan, enjin sangkut 30 kuasa kuda (30hp) kepada 60 lagi nelayan, alat pengesan koordinat kawasan (GPS) (450 nelayan), pukat kaya (600), jaket keselamatan (1,200), kawat bubu (600) dan pembinaan tukun tiruan di kawasan yang akan dikenal pasti.

Najib turut menyampaikan bantuan persekolahan berbentuk wang tunai RM100, pakaian serta kelengkapan sekolah masing-masing kepada 3,000 murid yang merupakan anak nelayan. Dua ratus lagi murid diberikan sumbangan basikal setiap seorang.

Dalam meniupkan kata-kata semangat kepada warga nelayan, Najib berkata beliau mahu melihat segala dasar, bantuan dan pendidikan yang dihulurkan kerajaan dapat membantu mereka mencapai perubahan besar dalam diri mereka.

Mengambil contoh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, anak nelayan yang berjaya menjadi Menteri Besar Perak, Najib berkata seseorang yang lahir dalam keluarga nelayan tidak semestinya mengakhiri hidupnya sebagai nelayan.

“Walaupun pembangkang mempersendakan Zambry kerana warna kulitnya ‘lain sikit’, tapi dia patut dipuji dan diberi award kerana dia menjadi bukti bahawa melalui usaha gigih, dia boleh berjaya dalam hidupnya,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan peruntukan RM63 juta untuk membaik pulih projek perumahan nelayan di Kampung Bunut Rendang di sini, yang terbengkalai sejak 15 tahun lepas.

Program Ihsan Samudera yang didukung sepenuhnya oleh Yayasan 1MDB dan Yayasan Felda merupakan program di bawah Gagasan 1Malaysia, yang memberi fokus kepada masyarakat nelayan pesisir pantai dan sungai di seluruh Malaysia dengan pendekatan ‘turun padang’ untuk mendekati mereka.

Antara objektif program itu ialah meninggikan kualiti hidup serta mengurangkan beban kewangan nelayan dalam melaksanakan pekerjaan mereka dan menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak mereka.

Program berkenaan merupakan antara aturcara lawatan Najib ke Pahang hari ini. Pada sebelah pagi, beliau mengadakan perjumpaan dengan 7,000 penjawat awam negeri di Universiti Malaysia Pahang sebelum bertemu dengan pemimpin komponen BN negeri di Yayasan Pahang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply