News_archive

Najib Umum 27 EPP Dan Projek Kualiti Kehidupan Di Iskandar Malaysia

By Friday March 9th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 27 Projek Permulaan (EPP) dan 32 Projek Kualiti Kehidupan di Iskandar Malaysia, yang dijangka menarik pelaburan bernilai RM139.3 bilion, dari dalam dan luar negara.

Kesemua EPP dan Projek Kualiti Kerajaan yang akan dilaksana mulai tahun ini hingga 2020 itu akan menjana RM25.57 bilion di dalam Pendapatan Kasar Negara (GNI).

“Kesemua EPP dan Projek Kualiti Kehidupan yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia itu dijangka mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan, pendidikan serta minyak dan gas,” Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia di Persada Johor di sini, yang turut dihadiri isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Perdana Menteri berkata usaha mengubal program itu telah dilakukan oleh Makmal Koridor dan Bandaraya yang dijalankan sejak September hingga November tahun lepas di bawah kelolaan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

Beliau berkata 27 EPP di Iskandar Malaysia akan melibatkan tiga bidang ekonomi iaitu Pendidikan, Pelancongan serta Minyak dan Gas, dengan sasaran GNI sebanyak RM25.3 bilion sehingga 2020.

Katanya lapan daripada EPP dalam bidang Pendidikan itu termasuk usaha memantapkan penyertaan sekolah dan institusi pengajian tinggi swasta dan antarabangsa.

Ia juga akan menjadikan Iskandar Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan untuk inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

Bagi bidang Pelancongan pula, Najib berkata terdapat 13 EPP yang dirancang, terutama dalam memastikan pergerakan pelancong ke Iskandar Malaysia tidak terbantut oleh kesesakan dan kekurangan prasarana.

“Satu projek yang akan dilaksanakan serta-merta ialah meningkatkan dan melancarkan laluan masuk ke Iskandar Malaysia untuk semua jenis pengangkutan,” katanya dan menambah, lebih banyak hotel untuk pelancong juga akan dibina.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan juga akan mewujudkan tarikan pelancongan yang unik dan taman-taman tema bertaraf antarabangsa, di samping aktiviti liburan berasaskan membeli-belah, sukan dan lain-lain.

Untuk sektor Minyak dan Gas pula kata beliau, sebanyak enam EPP di peringkat negeri akan dilaksanakan sehingga 2020, dan ia tidak akan terhad kepada wilayah Iskandar Malaysia sahaja tetapi turut melibatkan Pengerang, di tenggara Johor.

Projek-projek terbabit katanya melibatkan pembinaan terminal dan hab perkhidmatan sokongan petroleum di Tanjung Langsat, terminal petroleum di Tanjung Bin, terminal petroleum dan kompleks perindustrian bersepadu di Pengerang, serta sebuah hab dagangan petroleum, kata Perdana Menteri.

“Kesemua 27 Projek Permulaan ini akan menyumbang dalam mempercepatkan arus pembangunan di Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan terus memajukan sektor-sektor ekonomi tumpuan di Iskandar Malaysia, iaitu petrokimia & oleokimia, kejuruteraan elektrik dan elektronik, pemprosesan produk makanan dan hasil pertanian serta sektor-sektor perkhidmatan.

Perdana Menteri berkata Makmal Koridor dan Bandar Raya juga telah mengenal pasti tiga bidang yang memerlukan tindakan serta-merta agar mutu kehidupan di Iskandar Malaysia dapat dipertingkat.

Ia melibatkan pencegahan jenayah, rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam bandar serta rejuvenasi dan pemulihan bandar raya, dengan 32 projek kualiti kehidupan telah pun dikenal pasti.

Kesemua projek kualiti kehidupan itu katanya memerlukan belanja RM24.5 bilion, dengan RM14.2 bilion atau 58 peratus daripada keperluannya dibiayai dana awam, sementara baki RM10.3 bilion atau 42 peratus disumbangkan pihak swasta.

Katanya dalam bidang pencegahan jenayah, sebanyak 10 projek kualiti kehidupan akan dilaksanakan, manakala bagi rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam bandar pula, 12 projek akan diusahakan di Iskandar Malaysia.

Bagi rejuvenasi dan pemulihan bandar raya pula kata Perdana Menteri, makmal telah merangka 11 projek bertujuan untuk menyuntik nafas baharu serta memulihkan penampilan bandar raya Johor Baharu agar ia kembali nampak segar.

Program transformasi koridor dan bandar raya Iskandar Malaysia katanya, diyakini akan mengubah landskap kawasan seperti Johor Baharu, Pengerang, termasuk Mersing dengan drastik.

“Saya berani katakan di sini bahawa agenda transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah jauh lebih baik daripada reformasi,” kata Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply