News_archive

Najib Ucapkan Selamat Menyambut Perayaan Onam Kepada Masyarakat Malayalee

By Wednesday September 7th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Onam atau pesta penghargaan musim menuai yang disambut masyarakat Malayalee di negara ini.

Dalam status terbaru laman Facebook beliau “Najib Razak”, Najib mengajak sekalian rakyat Malaysia untuk mengucapkan “Onam Ashamsegal” dalam semangat 1Malaysia.

“Marilah kita sambut perayaan ini bersama dengan rakan-rakan masyarakat Malayalee kita,” kata Najib.

Onam adalah perayaan yang cukup sinonim dengan musim menuai yang seakan sama dengan perayaan seperti Ponggal dalam budaya masyarakat Tamil, serta Gawai dan Kaamatan.

Di negeri Kerala, India, kedatangan bulan Chingam disambut meriah sebagai musim menuai yang diserikan dengan permainan tradisional, tarian, nyanyian, muzik, pemberian hadiah dan jamuan bersama seisi keluarga.

Menjelang perayaan Onam, masyarakat Malayalee membersihkan rumah dan berpakaian serba baru (sama seperti yang dilakukan oleh masyarakat lain menjelang musim perayaan) sebagai menyambut kunjungan Mahabali.

Perayaan itu diraikan pada bulan pertama dalam kalendar Malayalam iaitu bulan Chingam di antara bulan Ogos dan September.

Sumber : Bernama

Leave a Reply