News_archive

Najib Ucap Terima Kasih Kepada Dr Chan Atas Segala Jasa Dan Sumbangan

By Saturday December 10th, 2011 No Comments

KUCHING, 10 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr George Chan, 75, atas sumbangan dan jasanya sepanjang terbabit dalam politik dan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata selain menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Dr Chan yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) banyak berjasa kepada rakyat dan negeri Sarawak.

“Selepas ini Dr Chan pastinya mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga dan kita di BN amat menghargai jasa beliau,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku “What Now” tulisan Dr Chan.

Najib berkata sebagai pemimpin, Dr Chan telah memberi sumbangan yang besar sepanjang perkhidmatannya sehingga sanggup berkorban masa untuk keluarga anak dan cucu.

Sementara itu, Dr Chan berkata selepas sekian lama terbabit dalam politik dan kerajaan kini masanya lebih banyak dihabiskan bersama keluarga dan menulis.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata dengan sokongan keluarga, beliau berharap selepas ini dapat menghasilkan buku-buku yang boleh menjadi inspirasi generasi akan datang.

“Saya berharap ada masa untuk menulis lagi selepas ini dengan sokongan isteri untuk tujuan kebajikan,” katanya yang mempunyai empat anak perempuan dan 11 cucu.

Dr Chan mula terbabit dalam politik pada 1980 sebagai Pembantu Ketua Setiausaha SUPP sebelum menjadi Timbalan Pengerusi SUPP (1982 hingga 1989) dan menjadi Ketua Setiausaha SUPP pada 1990 hingga 1996 dan menjadi Presiden SUPP sejak 1996 hingga ke hari ini.

Dr Chan pernah menjadi Anggota Parlimen Lambir setelah memenangi kerusi itu pilihan raya umum 1982 dan bermula pada 1991 hingga 2011 sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Piasau sebelum tewas kepada calon DAP pada pilihan raya negeri April lepas.

Selain menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak sejak 1996, Dr Chan pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Kemudahan Awam, Menteri Pembangunan Industri, Menteri Permodenan Pertanian, Menteri Pembangunan Industri dan Menteri Pelancongan dan Warisan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply