News_archive

Najib Ucap Tahniah Kepada Chong Wei Kerana Juarai Terbuka Korea

By Sunday January 8th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei kerana menjuarai kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, Korea Selatan.

“Syabas Datuk Lee Chong Wei!! Tahniah daripada saya dan isteri. Kami kini berada di Afrika Selatan dan baru mendapat berita ini,” kata Najib menerusi mesej Twitter beliau.

Najib berada di Afrika Selatan untuk lawatan kerja dua hari dan menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 parti pemerintah negara berkenaan, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Chong Wei mengalahkan seteru utamanya yang juga juara Olimpik, Lin Dan, dari China dalam permainan rubber set, 12-21, 21-18 dan 21-13.

Ini kemenangan pertama Chong Wei dalam kempen badminton 2012 beliau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah kepada Chong Wei di atas kejayaannya yang dianggap sebagai pembuka tirai yang amat manis untuk tahun ini.

Sambil melahirkan rasa bangga atas kejayaan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran yakin seluruh rakyat Malaysia turut berkongsi rasa sama.

“Tahniah Datuk Lee Chong Wei. Saya merasa amat berbangga dan saya yakin seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan ini.

“Ia satu pembuka tirai tahun 2012 yang amat manis dan kami doakan kejayaan yang lebih banyak untuk tahun 2012,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply