News_archive

Najib Turun Padang Untuk Bersama Penduduk Subang

By Friday July 22nd, 2011 No Comments

SUBANG, 22 Julai (Bernama) — Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Jumaat meneruskan budaya kerja tinjauan mesra selepas hanya tiga jam pulang ke tanah air dari lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali.

Tinjauan mesra itu bermula apabila Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu ungu muda tiba di Masjid Subang Perdana pada 1.20 tengah hari dan disambut oleh anggota jawatankuasa masjid berkenaan.

Beliau kemudiannya menunaikan solat sunat sebelum mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Suryadi Abdul Aziz dan seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama 500 jemaah di masjid berkenaan.

Selepas solat, Perdana Menteri makan tengah hari bersama 2,000 penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana, yang terletak berhadapan masjid berkenaan.

Beliau disambut meriah oleh pelajar dan guru sekolah berkenaan serta masyarakat setempat yang nyata teruja dengan kedatangan pemimpin nombor satu negara itu.

Walaupun cuaca panas, pelajar dan penduduk tetap tidak berganjak dan sedia menanti kedatangan beliau selain tidak mahu melepaskan peluang bersalaman dan melihatnya dari dekat.

Najib diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Selepas selesai menjamu selera, memberi ucapan dan beramah mesra dengan tetamu di sekolah itu, Najib meneruskan tinjauan ke pusat penjaja dan peniaga di Kampung Melayu Subang.

Dalam kunjungan pada kira-kira pukul 4 petang itu, selain bersalaman dengan peniaga dan penduduk sekitar, Najib sempat bermain dam bersama pelanggan di salah sebuah gerai makan.

Pelanggan terbabit, Hassan Ijoh, 66, berkata beliau tidak menyangka seorang perdana menteri sanggup turun padang menemui rakyat dan menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.

“Ini kunjungan pertama seorang perdana menteri ke sini sejak merdeka iaitu zaman perdana menteri pertama dulu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Saya amat gembira dan rasa tak percaya,” katanya yang juga penduduk asal kampung itu.

Setelah meluangkan masa selama 15 minit di situ, tinjauan mesra beliau diteruskan dengan menziarahi seorang pembimbing agama yang disegani di Kampung Melayu Subang iaitu Hashim Karim, 57.

Hashim yang juga seorang pembimbing haji dan umrah di Tabung Haji Kelana Jaya dan Masjid Negeri Shah Alam berkata beliau begitu gembira diberi keistimewaan menerima kunjungan daripada seorang pemimpin negara.

“Saya tidak tidur malam sejak mengetahui perdana menteri mahu mengunjungi rumah saya dua hari lepas…macam-macam fikir untuk sediakan makan dan minum.

“Alhamdulillah, hidangan serawa durian dan roti jala yang disediakan amat disukai oleh Datuk Seri Najib,” kata beliau yang telah menunaikan haji dan umrah sebanyak 136 kali.

Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Hashim turut memberikan cenderamata berupa beberapa naskhah majalah dan buku agama kepada Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply