News_archive

Najib Tinjau Keindahan Lembah Maliau Pada Sabtu

By Tuesday January 25th, 2011 No Comments

KOTA KINABALU, 25 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak akan berkunjung ke Lembah Maliau di selatan pedalaman Sabah pada Sabtu ini, menjadikan beliau Perdana Menteri pertama melawat kawasan terpencil yang terkenal dengan keindahan alam semulanya.

Selain merasmikan Pusat Pengajian Lembah Maliau, beliau akan juga menyaksikan upacara menandatangani beberapa memorandum persefahaman antara kumpulan-kumpulan tempatan dan luar negara yang terlibat dalam kerja penyelidikan di kawasan hutan hujan berkenaan.

Najib juga akan melancarkan “Project Safe” yang dikendalikan oleh kumpulan Sime Darby di kawasan itu.

“Lembah Maliau adalah khazanah semula jadi yang sangat bernilai yang perlu dilindungi,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun kepada Bernama di sini Selasa.

Sebab itulah, katanya, kerajaan negeri mencalonkan Lembah Maliau dan Lembah Danum sebagai Tapak Warisan Dunia agar generasi masa depan dapat menikmati keindahan masing-masing.

Lembah Maliau pernah menjadi tajuk perbincangan — sama ada ianya harus dikekalkan dalam keadaan semula jadinya atau membenarkan kerja menggali logam berharga di situ dijalankan untuk tujuan ekonomi.

Namun, perbahasan itu berakhir apabila kerajaan Sabah mengambil pendirian tegas melarang sebarang kerja menggali di situ.

Lembah Maliau adalah seluas 58,840 hektar dan terletak di satu kawasan terpencil yang sukar didiami oleh manusia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply