News_archive

Najib tidak hunus keris cabar sesiapa

By Monday June 15th, 2009 No Comments

Dakwaan Karpal perhimpunan 1987 tak benar

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menghunus keris dengan tujuan untuk mencabar masyarakat Cina di negara ini dalam satu perhimpunan umum pada 1987.

Semakan terhadap keratan akhbar dan arkib berita tempatan serta media asing yang menyiarkan mengenai perhimpunan pada 17 Oktober 1987 itu mendapati tidak berlaku kejadian menghunus keris seperti didakwa Karpal.

Sebaliknya, perkara yang dibangkitkan Najib yang ketika itu pemangku Ketua Pemuda Umno ketika berucap pada majlis di Stadium Jalan Raja Muda, di sini, adalah berkisar mengenai usaha mengekalkan Ketuanan Melayu dan perpaduan rakyat.

Antara 10 ketetapan yang dibaca di majlis itu adalah meminta kerajaan tidak tunduk kepada tekanan dan ugutan perkauman yang dilaungkan mana-mana parti kawan dan lawan.

Kelmarin, Karpal yang juga Ahli Parlimen Jelutong ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, meminta Najib memohon maaf kerana didakwa pernah menghunus keris dengan tujuan mencabar masyarakat Cina pada 1987.

Najib bagaimanapun menegaskan, beliau tidak pernah berbuat demikian, justeru tidak perlu meminta maaf, sebaliknya Karpal yang perlu meminta maaf kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadapnya.

Ketua Penyunting Berita Harian, Badrulhisham Othman yang ketika itu bertugas sebagai wartawan membuat liputan perhimpunan berkenaan berkata, Najib tidak pernah menghunus keris untuk mencabar masyarakat Cina apatah lagi mahu bermandi darah mereka.

Katanya, pada perhimpunan itu Najib memberi ucapan penuh bersemangat dengan setiap baris disambut sorakan Pemuda Umno tetapi tutur katanya masih jelas dan ia bukan seruan perang.

“Ia adalah laungan tegas yang membariskan satu persatu mengapa semua kaum di negara ini tidak harus bertindak di luar batas. Najib tidak mencabar sesiapa dengan menghunuskan keris,” katanya.

Wartawan akhbar Straits Times Singapura yang membuat liputan perhimpunan sama, Ismail Kassim pula berkata, perhimpunan 22 tahun lalu itu masih segar dalam ingatannya.

Katanya, jika benar Najib ada menghunus keris dan mencabar masyarakat Cina, beliau sudah pasti melaporkan mengenainya tetapi akhbar Straits Times Singapura pada 18 Oktober 1987 tidak melaporkan isu itu.

Ismail berkata, beliau masih ingat memang ramai wakil media asing membuat liputan perhimpunan itu yang berlangsung dalam hujan lebat tetapi tiada seorang pun yang menulis atau mengingati Najib mencabar masyarakat Cina.

Malah katanya, beberapa media antarabangsa lain majalah seperti Asiaweek juga tiada melaporkan mengenai sebarang insiden Najib menghunus keris atau mencabar masyarakat Cina pada perhimpunan terbabit.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply