News_archive

Najib Tiba Untuk Lawatan Rasmi Ke Kazakhstan

By Sunday June 5th, 2011 No Comments

ASTANA (Kazakhstan), 5 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Ahad untuk lawatan rasmi empat hari ke Kazakhstan dan juga untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia kali ketujuh (WIEF ke-7) di ibu negara Kazakhstan itu.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut di lapangan terbang antarabangsa di sini oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Menteri Komunikasi dan Penerangan Kazakhstan, Askar Kuanyshevich Zhumagaliev.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri atas jemputan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

Turut mengiringi Najib ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia Beibut B. Atamkulov yang berada di sini memberitahu Bernama bahawa lawatan Najib amat ditunggu-tunggu oleh para pemimpin dan rakyat Kazakhstan yang banyak mengetahui mengenai beliau dan memandang tinggi kepada Malaysia.

Atamkulov berkata Malaysia memang merupakan sebuah negara model bagi Kazakhstan, yang mempunyai 16 juta penduduk, sejak ia mencapai kemerdekaan dari Soviet Union 20 tahun lalu.

Sementara itu, Anifah memberitahu wartawan Malaysia bahawa lawatan Najib termasuk kehadiran dan menyampaikan ucapan di WIEF menyediakan peluang terbaik bagi Malaysia untuk memperkukuh hubungan rapat antara kedua buah negara serta menggalakkan kerjasama dan dialog yang bermakna di kalangan negara membangun yang menghadiri WIEF.

Semasa lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya Karim Massimov.

Para pemimpin itu dijangka mengulas mengenai perkembangan positif kerjasama dua hala dan menegaskan komitmen mereka untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama antara kedua buah negara.

Memetik angka perdagangan, Anifah berkata pada 2010, Kazakhstan merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dan juga destinasi eksport terbesar dan sumber ketiga terbesar import di Asia Tengah.

Perdagangan dua hala mencapai paras tertinggi pada 2010 kepada US$107 juta (RM322juta), melonjak lebih daripada 300 peratus sejak 2009 dengan eksport Malaysia ke Kazakhstan berjumlah US$106 juta (RM319 juta) dan import dari Kazakhstan berjumlah US$760,000 (RM2.28juta).

Kazakhstan, sebuah negara majoriti Islam dan terletak di sepanjang Laluan Sutera menghubungkan Timur dan Barat, merupakan negara kesembilan terbesar dunia dengan keluasan lebih daripada 2.9 juta kilometer persegi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply