News_archive

Najib Tiba Di Perth Untuk CHOGM

By Wednesday October 26th, 2011 No Comments

PERTH, 26 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini Rabu malam bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel(CHOGM) dan mesyuarat berkaitan.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad dan isteri Tengku Karina Tuan Yusoff serta Konsul Jeneral Malaysia di Perth Hamidah Ashari.

Turut hadir Menteri Persekutuan untuk Pengajian Tinggi, Kemahiran, Pekerjaan dan Perhubungan Tempat Kerja Senator Christopher Evans serta Menteri negeri untuk Polis, Perkhidmatan Kecemasan dan Keselamatan Jalan Raya Robert Frank Johnson.

Sepanjang berada di sini, Najib dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard dan Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa pada Khamis.

Pada hari sama, beliau akan menyampaikan ucaptama bertajuk “Building Infrastructre for the 21st Century” pada Forum Perniagaan Komanwel serta menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai ‘penstandardan’ antara Malaysia dan Uganda.

Najib turut dijadual mempengerusikan sesi mengenai Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Malaysia serta menyertai Rundingan Meja Bulat Perdana Menteri Australia bersama Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel dan tokoh perniagaan.

Beliau dijadual sibuk menghadiri mesyuarat dua hala, sesi eksekutif dan rundingan santai manakala Rosmah akan menyertai program untuk isteri-isteri Ketua Kerajaan Komanwel.

Perdana Menteri akan mengadakan majlis barbeku untuk rakyat Malaysia di Perth pada Ahad sebelum kembali ke tanah air.

Najib mengetuai delegasi Malaysia ke CHOGM yang disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Mustapa Mohamed serta pegawai kementerian berkenaan.

CHOGM 2011 bertemakan “Membangunkan Ketahanan Nasional, Membina Ketahanan Global,” akan dirasmikan Ratu Elizabeth II, yang juga Ketua Komanwel pada Jumaat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply