News_archive

Najib Tiba Di New York Untuk Lawatan Kerja

By Wednesday May 16th, 2012 No Comments

NEW YORK, 16 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Rabu untuk memulakan lawatan kerja yang bertujuan mengukuh dan memperluas hubungan dengan negara ekonomi terbesar dunia Amerika Syarikat.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Westchester County di sini dengan pesawat khas pada 1.00 pagi Rabu (1.00 tengah hari Rabu waktu Malaysia) selepas melakukan lawatan kerja ke United Kingdom.

Ketibaan mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim.

Najib mempunyai aturcara yang sibuk bermula dengan mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS) pada Rabu.

Perdana menteri turut dijadual menyaksikan pertukaran beberapa dokumen sempena mesyuarat tersebut termasuk memorandum persefahaman (MoU) antara MyBiomass, Sime Darby dan Felda; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan NYAS; Universiti Teknologi Malaysia dan Columbia Univeristy; Centre for Global Sustainability Studies (CGSS), Universiti Sains Malaysia dan Earth Institute, Columbia University; Nano Malaysia Corporation dan Advanced University Energy Research serta Technology Center of Stony Brook University, New York.

Najib akan turut menghadiri mesyuarat meja bulat perniagaan dengan pemimpin Fortune 500 Companies di Harvard Club New York.

Beliau turut dijadual bertemu Pengerusi Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Thermal Energy Corporation, Jeremy P. Feakins dan Naib Presiden Eksekutif Motorola Solutions, Gene Delaney.

Dalam acara yang berasingan, Rosmah dijadual menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Pandu Puteri Amerika Syarikat, Anna Maria Chavez dan melawat New York Presbyterian Children’s Hospital pada Rabu.

Najib dan Rosmah akan berlepas ke Washington D.C. dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Westchester County pada Jumaat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply