Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Tiba Di Manado Bagi Sidang Kemuncak CTI - Najib Razak
News_archive

Najib Tiba Di Manado Bagi Sidang Kemuncak CTI

By Wednesday May 13th, 2009 No Comments

MANADO (Sulawesi Utara), 14 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini petang Khamis bagi lawatan kerja dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) 2009 yang akan berlangsung di sini esok.

Sidang Kemuncak CTI, melibatkan enam negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor Leste, diadakan di ibu kota Sulawesi Utara ini sempena Persidangan Lautan Dunia (WOC)yang pertama dari 11-15 Mei ini.

Sidang Kemuncak CTI akan membincangkan enam agenda utama iaitu Perubahan Iklim Global, Biodiversiti Marin Mega, Perkhidmatan dan Industri Maritim, Mengurangkan Risiko Pantai dan Marin, Lautan Sebagai Perbatasan Masa Depan dan Pengurusan Lautan dan Pantai Bersepadu.

Turut akan dibincangkan ialah sistem pemantauan marin global, geologi dan geofizik marin, pelancongan marin, perlindungan marin, terumbu karang, pembiakan dan pengurusan ikan dan pengurusan pulau-pulau kecil.

Ketibaan Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di sini disambut oleh Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Dr Maximus Ongkili, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Da’i Bachtiar, Gabenor Sulawesi Utara Sarung Jadang dan beberapa orang kenamaan tempatan.

Sebaik tiba, Najib akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala bagi meraikan Ketua-Ketua Kerajaan di Pusat Konvensyen Grand Kawanua yang dihoskan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Kemudiannya Najib akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Papua New Guinea Sir Micheal T. Somare bagi perbincangan dua hala.

Pada Jumaat, pada Sidang Kemuncak CTI, Najib dijadual menyampaikan ucapan yang menegaskan mengenai komitmen, harapan dan aspirasi Malaysia terhadap tema CTI mengenai terumbu karang, perikanan dan jaminan makanan (CFF) selaras dengan senario pemanasan global dan perubahan iklim.

Melalui CTI, inisiatif yang akan melibatkan Pelan Tindakan Nasional dan Serantau secara individu dan kerjasama negara anggota mengenai sumber marin, terumbu karang dan perikanan, Malaysia dijangka akan turut memainkan peranan utama dan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Peranan dan kepentingan Malaysia dalam CTI diwakili khususnya di perairan Sulu dan Sulawesi di Sabah, meliputi seluas kira-kira 35,000 kilometer persegi, kaya dengan terumbu karang dan permukaan air di bumi yang turut memainkan peranan amat penting dalam penyerapan karbon bagi mengurangkan impak pemanasan global.

Sejak 11 Mei, para pegawai kanan telah membincangkan agenda berkenaan dan kemudiannya dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri-menteri CTI di sini hari ini, dengan Malaysia diwakili Ongkili.

Ketua kerajaan lain yang menghadiri CTI juga akan menyampaikan pernyataan masing-masing selepas ucapan pembukaan oleh Presiden Susilo.

Najib kemudiannya akan menyertai ketua-ketua kerajaan yang lain untuk menerima pakai dan menandatangani Deklarasi Pemimpin-pemimpin CTI, dokumen yang dikatakan akan menjadi sokongan penting kepada Deklarasi Lautan Manado yang diterima pakai pada WOC hari ini.

Ia mengenai Lautan dan Pantai dan kesan Perubahan Iklim, Peranan Lautan dalam Menangani Perubahan Iklim dan Masa Depan Lautan dan Pantai.

Pada sebelah petangnya, Najib akan melakukan lawatan singkat ke Makassar bagi menziarahi Makam Sultan Hasanuddin di Gowa, Sulawesi Selatan dan dari sana akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply