News_archive

Najib Tiba Di Indonesia Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari

By Thursday April 23rd, 2009 No Comments

JAKARTA, 22 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Rabu bagi melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, iaitu lawatan rasmi pertama beliau selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.

Indonesia merupakan negara pertama dalam kalangan negara anggota Asean yang beliau kunjungi, bagi mengekalkan tradisi yang terjalin sejak sekian lama dengan negara jiran terdekat Malaysia.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, lawatan Najib itu menggambarkan kepentingan yang sentiasa diletakkan oleh Malaysia terhadap Indonesia dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Rombongan Perdana Menteri disertai oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Selain itu, turut menganggotai rombongan berkenaan ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Ketibaan Najib dengan menaiki pesawat khas disambut oleh Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda, Menteri Pengiring Sofyan Djalil, Duta Indonesia ke Kuala Lumpur Dai Bachtiar dan Gabenor Jakarta Fauzi Bowo.

Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain dan pegawai kanan Kedutaan Malaysia di sini turut hadir.

Perdana Menteri mempunyai jadual ketat esok, bermula dengan upacara meletak kalungan bunga di Makam Pahlawan Indonesia di Kalibata.

Najib kemudian akan beredar ke Istana Merdeka untuk upacara sambutan rasmi dan memeriksa kawalan kehormatan serentak dengan tembakan meriam 19 das di perkarangan Istana yang terletak di tengah-tengah daerah pusat ibu kota ini.

Diiringi oleh Rosmah, beliau kemudian akan mengunjungi Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Ibu Ani Yudhoyono, juga di Istana Merdeka.

Selepas mengadakan pertemuan dua hala di Istana, Najib dan Susilo mengadakan sidang akhbar bersama, dengan kedua-dua pemimpin dijangka menegaskan semula mengenai pentingnya kesinambungan dalam hubungan dua hala selain menjalin kerjasama yang lebih akrab dalam banyak bidang demi manfaat kedua-dua negara serta rakyat masing-masing.

Dari Istana Merdeka, Najib dan delegasi akan berlepas ke Istana Naib Presiden untuk mengunjungi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Jusuf akan meraikan Najib dalam jamuan tengah hari di kediaman rasmi beliau di Jalan Diponegoro, Menteng di Jakarta Selatan.

Pada lewat tengah hari, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia Hidyat Nur Wahid dan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR) Agung Laksono di bangunan Parlimen.

Selepas pertemuan sejam itu, Najib dijadual bertemu wartawan Malaysia di hotel penginapannya.

Di sebelah malamnya, Presiden Susilo akan menganjurkan jamuan rasmi bagi meraikan Najib di Istana Negara.

Perdana Menteri dan isteri akan berlepas pulang ke tanah air selepas majlis jamuan itu.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply